PETALING JAYA – Pelakon Yusuf Bahrin mengakui rutin kerja pejabat jauh lebih santai berbanding dunia lakonan yang disifatkan penuh cabaran fizikal dan mental di sebalik glamor dilihat di layar televisyen.
Ujar Yusuf atau nama sebenarnya Muhammad Yusuf Bahrin, 34, tanggapan umum kononnya dunia lakonan sentiasa indah sebenarnya tidak menggambarkan realiti sebenar di set penggambaran.
“Ramai ingat berlakon ini glamor. Jumpa artis, masuk televisyen — ramai kenal.
“Tetapi apa yang orang nampak cuma sekitar 10 peratus sahaja. Selebihnya berlaku di belakang kamera.
“Kerja pejabat dari pukul 9 pagi hingga 5 petang sebenarnya lebih santai. Petang sudah boleh pulang, makan bersama keluarga dan berehat,” katanya dalam Threads.
Menurutnya, jadual tidak menentu serta tempoh menunggu panjang antara cabaran utama yang perlu ditempuh setiap pelakon.
“Kalau berlakon, kadang-kadang panggilan seawal pukul 5 pagi. Balik pula lewat malam, kadang-kadang sampai pukul 12 pun belum tentu selesai.
“Ada hari perlu menunggu berjam-jam hanya untuk satu babak yang mungkin muncul tidak sampai dua minit di televisyen,” ujarnya.
Tambah pelakon drama Mencari Isteri Sempurna itu, ramai tidak menyedari kebanyakan masa di set sebenarnya dihabiskan untuk perkara teknikal, bukan semata-mata berlakon.
“Bukan sepanjang masa di set kita berlakon. Banyak masa dihabiskan untuk tunggu pencahayaan siap, tukar lokasi, sentuhan solekan, latihan dan rakaman semula babak yang sama berkali-kali.
“Babak menangis selama 30 saat yang penonton lihat mungkin mengambil masa dua hingga tiga jam untuk disiapkan. Penat fizikal satu hal, penat mental lagi satu hal.
“Tetapi itulah harga yang perlu dibayar demi menghasilkan karya yang kelihatan sempurna di skrin,” jelasnya.
Dalam masa sama, Yusuf meluahkan rasa hormat terhadap seluruh tenaga kerja industri hiburan yang bertungkus lumus di belakang tabir.
“Sebab itu saya sentiasa hormat semua yang bekerja dalam industri ini. Bukan pelakon sahaja, tetapi kru, jurusolek, pasukan pakaian, kamera, bunyi, ‘runner’ dan semua yang bekerja di belakang tabir.
“Bila sesebuah karya berjaya, itu bukan kemenangan seorang individu, tetapi hasil pengorbanan satu pasukan.
“Seperti mana-mana kerjaya lain, apa yang nampak mudah dari jauh selalunya jauh lebih sukar apabila kita sendiri menghadapinya,” ungkapnya.
Bagaimanapun, kenyataan tersebut mengundang reaksi bercampur dalam kalangan netizen, malah ada yang tidak bersetuju dengan pandangannya.
Tidak kurang juga, ada segelintir pihak berpandangan Yusuf seperti ‘salah bual’ dan ‘terpaling’ menjadi pelakon sedangkan kerjaya itu adalah pilihannya sendiri.
Sumber – KOSMO! ONLINE





