KUALA LUMPUR – Pekerja yang memilih untuk tidak meneruskan caruman Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (Lindung 24 Jam) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) boleh mengisi borang perakuan pelepasan liabiliti secara dalam talian bermula Isnin ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, perakuan itu penting bagi mengelakkan sebarang pertikaian undang-undang sekiranya pekerja terlibat dalam kemalangan di luar waktu kerja selepas memilih keluar daripada skim berkenaan.
Menurut beliau, selepas perakuan itu dilengkapkan, Perkeso dan majikan tidak lagi bertanggungjawab menyediakan perlindungan atau bayaran sekiranya berlaku kemalangan, kecederaan atau kematian di luar waktu bekerja.
Pekerja juga perlu memaklumkan keputusan itu kepada bahagian sumber manusia (HR) atau majikan kerana pembayaran caruman dibuat oleh majikan.
“Jika berlaku kemalangan, kecederaan atau kematian di luar waktu bekerja, majikan atau Perkeso tidak akan bertanggungjawab untuk menyediakan perlindungan dan bayaran. Kita tidak mahu selepas ini Perkeso atau majikan dipersalahkan sedangkan pekerja sendiri telah memilih untuk tidak meneruskan caruman,” katanya pada sidang akhbar khas di Ibu Pejabat Perkeso, hari ini.
Beliau berkata, pilihan keluar berkuat kuasa sebaik sahaja perakuan diterima dan pekerja yang membuat pilihan itu pada bulan ini tidak perlu meneruskan caruman bagi Julai.
Bagaimanapun, caruman yang telah dibayar sebelum ini tidak akan dipulangkan kerana perlindungan di bawah Lindung 24 Jam telah berkuat kuasa sejak 1 Jun lalu.
Mohammed Azman turut memaklumkan pekerja yang memilih keluar masih boleh menyertai semula skim tersebut pada bila-bila masa sekiranya berubah fikiran.
Setakat 9 Julai, seramai 207,000 majikan telah mendaftar di bawah skim itu membabitkan kira-kira 2.27 juta pekerja, termasuk 1.92 juta pekerja tempatan dan 307,000 pekerja asing, dengan jumlah caruman terkumpul sebanyak RM58 juta.
Dalam tempoh sama, Perkeso merekodkan 1,056 tuntutan di bawah Lindung 24 Jam.
Secara purata, sebanyak 27 tuntutan diterima setiap hari dengan hampir RM2 juta faedah telah disalurkan sejak skim itu dilaksanakan.
Pada masa sama, beliau menggalakkan pekerja tempatan untuk terus mencarum pada kadar 0.75 peratus kerana skim itu menyediakan perlindungan menyeluruh di luar waktu bekerja.
Menurutnya, caruman sekitar 30 hingga 50 sen sehari bukanlah satu beban, sebaliknya jaminan kepada pekerja dan keluarga sekiranya berlaku musibah.
Tambah beliau, Perkeso bersama Kementerian Sumber Manusia akan mengkaji semula mekanisme pelaksanaan serta kemapanan dana Lindung 24 Jam menjelang penghujung tahun ini susulan perubahan dasar daripada caruman mandatori kepada skim pilihan.
Sumber – KOSMO! ONLINE





