Thursday, November 12, 2026
HomeBERITALebih 16,000 Peranti Percuma Diagih Kepada 257 Sekolah Antara 2022 Hingga 2026

Lebih 16,000 Peranti Percuma Diagih Kepada 257 Sekolah Antara 2022 Hingga 2026

KUALA LUMPUR – Sebanyak 16,230 peranti pendidikan digital percuma, merangkumi komputer riba, Chromebook dan tablet, diagihkan kepada 257 sekolah di seluruh negara menerusi 133 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi tempoh 2022 hingga 2026.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, berkata sumbangan menerusi Yayasan Didik Negara (YDN) itu, menyokong keperluan pembelajaran murid daripada keluarga B40 dan di kawasan luar bandar.

Beliau berkata, di peringkat institusi, Kementerian Pendidikan (KPM) sudah melengkapkan sekolah di seluruh negara dengan penyediaan kemudahan makmal komputer merangkumi pembekalan komputer riba, pencetak pelbagai fungsi, projektor serta troli pengecasan peranti elektronik

“Inisiatif pembekalan ini dilaksanakan melalui tiga fasa dari 2021 hingga 2023, yang membabitkan agihan 244,158 unit peranti kepada sekolah tanpa mengira lokasi mahupun kawasan Parlimen.

“KPM kini sedang melaksanakan peluasan perkhidmatan sewaan peranti makmal komputer bagi baki 1,801 sekolah di seluruh negara dijadualkan bermula pada suku ketiga 2026.

“Ini bagi memastikan capaian peranti di sekolah terus menyeluruh dan tiada sekolah tertinggal daripada menerima manfaat kemudahan makmal digital yang moden,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen, malam tadi.

Beliau menjawab soalan Hishammuddin Hussein (BN-Sembrong) mengenai status pengagihan peranti digital percuma kepada murid B40 di sekolah luar bandar serta pelan liputan internet berprestasi tinggi di makmal sekolah kawasan pedalaman.

Fadhlina berkata, pengagihan peranti percuma itu dilaksanakan secara berfokus dan telus berasaskan kriteria keperluan diperakukan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) serta PPD.

“Keutamaan diberikan kepada murid B40 dan sekolah luar bandar merentasi pelbagai jenis institusi, termasuk Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), sekolah pendidikan khas sehinggalah ke Sekolah Model Khas Komprehensif K9 dan K11.

“Setakat Oktober ini, daripada 10,259 institusi pendidikan KPM di seluruh negara, 8,955 sekolah atau 87.28 peratus menikmati capaian internet melalui teknologi gentian optik (fiber) berkelajuan antara 300 Mbps hingga 800 Mbps,” katanya.

Mengenai pelan liputan internet sekolah kawasan pedalaman, Fadhlina berkata, pendekatan KPM adalah menyediakan teknologi capaian terbaik berasaskan kesesuaian geografi premis sekolah.

“KPM melengkapkan sekolah dengan kemudahan teknologi gentian optik berkelajuan tinggi antara 300 hingga 800 Mbps serta talian jalur lebar dengan kelajuan 30 Mbps.

“Sementara itu, bagi sekolah di kawasan pedalaman menghadapi kekangan capaian darat, KPM membekalkan perkhidmatan internet teknologi satelit berprestasi tinggi dengan kelajuan sehingga 100 Mbps,” katanya.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Sepanyol Desak TikTok Gantung Operasi Susulan Penyebaran Bahan Eksploitasi Kanak-Kanak

0
MADRID – Kerajaan Sepanyol mendesak platform media sosial TikTok supaya menggantung operasinya di negara itu sehingga kandungan bahan eksploitasi seksual kanak-kanak di platform berkenaan...

CATEGORIES