KUALA LUMPUR – Sepenuh hati, penyanyi Jaclyn Victor yakin Aina Abdul berpeluang mencipta kejayaan pada pertandingan sulung Eurovision Song Contest Asia 2026 di Bangkok, Thailand, lusa.
Baginya Jaclyn, keistimewaan Aina bukan hanya terletak pada kehebatan vokal, malah, karisma ketika membuat persembahan dan keberanian mengetengahkan identiti tersendiri menerusi penampilan fesyen yang sering mencuri perhatian.
Malah, Jaclyn yang pernah mengharumkan nama Malaysia menerusi pertandingan Asia New Singer di Shanghai, China, pada 2005 itu turut mengagumi kemampuan Aina menghasilkan karya sendiri termasuk menulis lirik dan mencipta lagu.
“Aina sangat istimewa. Saya suka suaranya, karisma ketika berada di pentas dan penampilan fesyennya yang ‘avant-garde’. Dia sentiasa ada sesuatu yang tersendiri untuk ditampilkan.
“Apa yang paling saya suka mengenai Aina adalah dia menghasilkan muzik sendiri. Dia menulis lirik dan mencipta lagu. Bagi saya, itu menjadikan dia seorang artis yang lengkap,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert Sooka & Vaganza di sini, semalam.
Jaclyn berkata, berdasarkan maklum balas dan sokongan yang diterima Aina di media sosial, penyanyi Puas Sudah itu mendapat perhatian serta kepercayaan ramai peminat yang mahu melihatnya berjaya membawa nama Malaysia.
Justeru, Jaclyn berharap Aina tidak terlalu dibebani tekanan untuk memberikan persembahan terbaik, sebaliknya, menikmati peluang beraksi di pentas berprestij itu.
“Berdasarkan komen dan maklum balas di Instagram (IG), saya dapat lihat ramai yang berdiri di belakang Aina. Kami semua sangat bangga dengan segala pencapaiannya,” katanya.
Mengulas peluang Aina membawa pulang kemenangan, Jaclyn percaya temannya itu mempunyai kelebihan tersendiri, lebih-lebih lagi pertandingan berkenaan memberi penekanan kepada kemampuan peserta menghasilkan karya sendiri.
Bagaimanapun, Jaclyn mengakui tidak mengetahui secara terperinci kaedah penilaian pertandingan itu, sama ada berdasarkan undian penonton atau penilaian juri.
“Saya tidak begitu arif mengenai cara mereka membuat penilaian, sama ada berdasarkan undian atau juri. Tetapi, berdasarkan apa yang saya lihat, Aina antara peserta yang mendapat perhatian ramai.
“Jadi, saya fikir peluangnya untuk menang sangat tinggi,” katanya.
Aina bakal menggalas tanggungjawab sebagai wakil Malaysia menerusi lagu ciptaannya bersama Mac Chew, Bluest Sky, pada pertandingan akhir Eurovision Song Contest Asia 2026 yang menghimpunkan penyanyi dari 11 negara.
Aina dijadual membuat persembahan terakhir sebagai peserta ke-11 pada acara yang berlangsung di One Bangkok Forum, Bangkok, lusa.
Sumber – Kosmo! Online





