Thursday, November 12, 2026
HomeHIBURAN4 Gurun di Dunia yang Mengalami Musim Sejuk dan Fenomena Salji

4 Gurun di Dunia yang Mengalami Musim Sejuk dan Fenomena Salji

KUALA LUMPUR – Apabila menyebut tentang gurun, ramai membayangkan kawasan panas yang dipenuhi pasir dan bukit-bukit berwarna keemasan. Namun, tidak semua gurun mempunyai cuaca panas kerana terdapat juga kawasan gurun yang mengalami suhu sangat rendah sehingga menerima salji.

Gurun sebenarnya ditentukan berdasarkan jumlah kerpasan yang rendah, bukannya suhu panas semata-mata. Keadaan ini menyebabkan sesetengah kawasan yang diliputi salji dan ais turut dikategorikan sebagai gurun.

Berikut lima tempat di dunia yang mempunyai landskap gurun bersalji.

Gurun Antartika – Antartika

Antartika merupakan gurun terbesar di dunia dan antara kawasan paling sejuk di bumi. Walaupun hampir keseluruhan benua ini diliputi lapisan ais, jumlah kerpasan yang diterima sebenarnya sangat rendah.

Salji yang turun juga mengambil masa yang sangat lama untuk mencair, lalu terkumpul selama ribuan tahun sehingga membentuk lapisan ais yang tebal.

Gurun Gobi – Mongolia dan China

Gurun Gobi terkenal dengan kawasan berbatu, tanah gersang serta bukit pasir yang luas. Namun, gurun ini turut mengalami musim sejuk yang sangat ekstrem.

Suhu boleh jatuh di bawah paras beku dan sesetengah kawasan menerima salji ketika musim sejuk. Fenomena ini menjadikan pemandangan Gurun Gobi kelihatan berbeza berbanding keadaan panas dan kering yang sering dikaitkan dengan gurun.

Gurun Great Basin – Amerika Syarikat

Terletak di bahagian barat Amerika Syarikat, Gurun Great Basin merupakan gurun sejuk yang mengalami musim sejuk bersuhu rendah.

Salji boleh turun di kawasan ini, terutamanya di kawasan tanah tinggi dan pergunungan. Perubahan musim menyebabkan landskapnya kelihatan berbeza apabila kawasan kering bertukar menjadi putih diselaputi salji.

Gurun Taklamakan – China

Gurun Taklamakan terletak di Wilayah Xinjiang, barat China dan terkenal sebagai antara gurun berpasir terbesar di dunia.

Walaupun salji jarang berlaku di kawasan ini, fenomena tersebut pernah dirakam oleh satelit NASA. Pada Januari 2023, sebahagian kawasan gurun ini dilitupi salji selepas ribut musim sejuk melanda Asia Tengah.

Pemandangan bukit pasir yang diselaputi salji menghasilkan kontras menarik antara permukaan pasir dan lapisan putih di atasnya.

Gurun Tidak Semestinya Panas

Lima kawasan ini menunjukkan bahawa gurun tidak semestinya mempunyai cuaca panas seperti yang sering dibayangkan. Faktor utama yang menentukan sesuatu kawasan sebagai gurun ialah jumlah kerpasan yang rendah, bukan suhu persekitarannya.

Sebab itulah terdapat gurun yang panas dan kering, manakala sebahagian yang lain mempunyai suhu sangat rendah serta landskap bersalji.

Sumber – National Geographic

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Perlumbaan F1 Qatar, Abu Dhabi Diteruskan Walaupun Ketegangan Serantau

0
LONDON – Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mengesahkan dua perlumbaan terakhir perlumbaan Formula Satu (F1) 2026 di Grand Prix (GP) Qatar dan Abu Dhabi akan...

CATEGORIES