Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) merekodkan kutipan cukai langsung tertinggi dalam sejarah apabila pertama kalinya melepasi paras RM200 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kutipan HASiL pada tahun 2025 mencecah RM203.991 bilion, sekali gus ia merupakan pencapaian terbaik dengan peningkatan kutipan sebanyak RM19.186 bilion atau 10.38 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Hasil daripada prestasi kutipan yang lebih kukuh itu, kerajaan telah dapat memperuntukkan tambahan danabayaran balik cukai sebanyak RM11.4 bilion kepada pembayar cukai syarikat yang telah tertunggak, sekali gus menyelesaikan komitmen lampau secara lebih tersusun dan telus.
“Sesungguhnya sistem percukaian yang baik bukan sekadar cekap mengutip, tetapi juga adil dan saksama,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari LHDN Ke-30 Tahun 2026 di sini hari ini.
Teks ucapan Anwar dibacakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.
Pada masa sama, Anwar berkata, LHDN dituntut memperkukuh keupayaan analitik dan pendigitalan bagi mendepani dunia yang kini dilanda ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi
Menurutnya, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi perlu diperkasa untuk meningkatkan kecekapan mengurangkan ketirisan dan memudahkan pematuhan.
“Dalam masa yang sama, perkhidmatan kepada rakyat dan perniagaan mesti terus dipermudah, dipercepat dan diperkemas. Matlamatnya bukan sekadar kutipan cukai yang lebih tinggi, tetapi sistem percukaian yang lebih adil, telus dan diyakini,” katanya.
Jelasnya lagi, cukai bukan sekadar kewajipan undang-undang sebaliknya satu amanah bersama yang membolehkan negara membiayai pendidikan, kesihatan, perlindungan sosial dan pembangunan.
“Justeru, hasil negara mesti diurus dengan amanah, integriti dan ketelusan,” katanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE





