KUALA LUMPUR – Mahu hidup tenang, pelakon Along Cham tidak menyimpan dendam terhadap bekas isteri, Afreena Suhaimi selepas perceraian mereka yang mencetuskan kontroversi disahkan mahkamah pada 30 September 2025.
Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad, 43, berkata, buat masa ini fokus utamanya adalah mencari rezeki untuk menyara keluarga terutama membesarkan anak tunggalnya.
“Syukur saya masih dikurniakan rezeki termasuk dalam bidang pengacaraan. Pada usia 40-an ini, tiada apa yang ingin saya kejar lagi. Cukup makan, apa pakai, alhamdulillah.
“Perkara penting sekarang adalah menjalani hidup dengan tenang. Memang terkilan dan ‘sakit’ berdepan perceraian buat kali kedua, tetapi kini saya reda, tiada dendam.
“Saya memilih untuk menyerahkan segala-galanya kepada Allah SWT. Dia Maha Mengetahui,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert The Rayhan, baru-baru ini.
Tidak menyalahkan takdir, Along mengakui keruntuhan rumah tangga buat kali kedua mungkin berpunca daripada kesilapan diri sendiri yang terburu-buru membuat keputusan untuk segera bernikah.
Katanya, fasa duka melalui perkahwinan singkat juga tidak meninggalkan trauma, sebaliknya menjadi ruang untuknya bermuhasabah diri.
Mungkin silap sendiri, kenal dua bulan terus nak nikah kerana saya sangka inilah jodoh saya selepas lapan tahun menduda. Tapi aturan Allah yang terbaik.
“Apabila berkahwin, siapa yang nak bercerai. Trauma itu tidaklah, cuma perkara ini buatkan saya terfikir balik, saya dah buat keputusan yang salah ke?
“Tidak mengapalah, ini semua pengalaman ‘mahal’ biarpun ramai kecam saya, tetapi masih ada yang beri sokongan moral, minta saya kuat,” ujarnya.
Begitupun, pelakon filem Adnan Sempit itu tidak menutup pintu hati namun untuk mengenali wanita lain bukan dalam tempoh sekarang.
“Saya tak serik untuk kenal dengan orang baharu cuma kena ‘pusing-pusing’ dulu selain tidak tergesa-gesa dalam buat keputusan masa depan,” katanya.
Terdahulu, perkahwinannya dengan Afreena pada 4 April 2024 hanya mampu bertahan selama setahun apabila mereka bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada September tahun lalu.
Sebelum itu, Along bercerai dengan bekas isteri pertama, Zila Seeron, pada tahun 2016 selepas enam tahun hidup bersama. Mereka dikurniakan seorang anak, Ahmad Daniel yang kini berusia 14 tahun.
Sumber – KOSMO! ONLINE





