Thursday, May 14, 2026
HomeBERITAGuru Cuba Bunuh Isteri Sebelum Cederakan Diri Sendiri

Guru Cuba Bunuh Isteri Sebelum Cederakan Diri Sendiri

BAYAN LEPAS – Seorang wanita nyaris maut selepas ditikam suaminya sendiri dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Tunas Muda, Sungai Ara, di sini pada pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 6 pagi itu disedari ibu mangsa selepas terdengar jeritan anaknya dari tingkat atas kediaman.

Menurutnya, ibu mangsa terkejut apabila melihat menantunya yang juga seorang guru sedang menindih mangsa sambil cuba mengelar leher isterinya menggunakan pisau dapur.

“Bagaimanapun, ibu mangsa sempat menarik anaknya keluar dari bilik sebelum melihat suspek bertindak mengelar tangan serta lehernya sendiri.

“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian leher namun dilaporkan stabil, manakala suspek pula cedera parah di bahagian leher dan pergelangan tangan serta dirawat di zon merah, tetapi masih sedar,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian pada Rabu.

Sazalee berkata, pasangan suami isteri yang masing-masing berusia 30 dan 28 tahun itu merupakan guru dan sudah enam tahun berkahwin serta mempunyai seorang anak.

“Hasil keterangan saksi mendapati pasangan ini hidup dalam keadaan harmoni tanpa sebarang masalah kewangan, kemurungan atau perselisihan rumah tangga. Malah, komunikasi mereka malam tadi juga dilihat baik tanpa sebarang tanda mencurigakan.

“Pasangan itu tinggal bersama keluarga isteri dan polis masih menyiasat punca sebenar kejadian,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Kasihan, Orang Tak Tahu Kak Jee Ada Asma Yang Teruk’ –...

0
PETALING JAYA – “Orang tak tahu dia ada asma yang teruk. Tapi saya tak tahu kenapa Kak Jee tidak pernah cakap benda ini.” Demikian perkongsian...

CATEGORIES