Friday, June 19, 2026
HomeBERITAJPA Tawar 640 Penajaan Kepada Pelajar Cemerlang SPM 2026

JPA Tawar 640 Penajaan Kepada Pelajar Cemerlang SPM 2026

PETALING JAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menawarkan 640 penajaan kepada pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2026 dalam usaha berterusan memperkukuh pembangunan bakat negara selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani.

JPA dalam kenyataan berkata, penawaran itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan untuk melahirkan modal insan berprestasi tinggi yang mampu memacu kemajuan dan daya saing negara pada masa hadapan.

Katanya, melalui penawaran tersebut, pelajar cemerlang negara akan terus mendapat akses kepada pendidikan berkualiti di institusi pengajian tinggi terkemuka di dalam dan luar negara.

“Usaha ini juga merupakan sebahagian daripada inisiatif JPA untuk membangunkan bakat negara dalam bidang strategik dan kritikal yang diperlukan bagi menyokong agenda pembangunan nasional.

“Bagi tahun ini, sebanyak empat program penajaan ditawarkan iaitu Program Penajaan Nasional (PPN) melibatkan 30 slot, Program Khas Lepasan SPM Dalam Negara (LSPM) sebanyak 200 slot, Program Khas Jepun, Korea, Perancis dan Jerman (JKPJ) sebanyak 140 slot serta Program Khas JPA-MARA (PKJM) yang menyediakan 270 slot.

“Penajaan yang ditawarkan merangkumi pelbagai bidang strategik dan kritikal termasuk kejuruteraan, sains dan teknologi serta sains sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut JPA, menerusi program berkenaan, pelajar berpeluang melanjutkan pengajian di institusi pendidikan terkemuka dalam dan luar negara seperti Amerika Syarikat (AS), Australia, Jepun, Korea, Perancis, Jerman, United Kingdom (UK) dan New Zealand selain institusi pengajian tinggi tempatan.

“Calon yang telah mengemukakan permohonan boleh membuat semakan keputusan penajaan secara dalam talian bermula hari ini pukul 10 pagi hingga 22 Jun ini pukul 5 petang melalui sistem yang disediakan oleh JPA.

“Semua pelajar yang berjaya menerima tawaran Penajaan Lepasan SPM Tahun 2026 akan ditawarkan penajaan di bawah Pinjaman Boleh Ubah Berasaskan Merit Akademik (PBUA) yang diperkenalkan pada Jun tahun lalu,” katanya.

JPA berkata, pelaksanaan PBUA mencerminkan komitmen JPA dalam mengiktiraf kecemerlangan akademik selain mendorong penerima penajaan untuk terus mencapai prestasi terbaik sepanjang tempoh pengajian.

“JPA mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pelajar yang berjaya menerima tawaran penajaan tahun 2026. Kejayaan ini merupakan pengiktirafan terhadap usaha dan kecemerlangan yang telah ditunjukkan.

“JPA berharap penajaan yang diberikan dapat menjadi pemangkin kepada pembentukan generasi profesional dan pemimpin masa depan yang berilmu, berintegriti serta mampu menyumbang kepada kemajuan negara,” katanya.

Sumber – Utusan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Satu Kepuasan, Ramai Jadi Detektif Rungkai Konflik GBGTH’

0
PETALING JAYA – Aktor Beto Kusyairy mendedahkan naskhah lakonannya, Good Boys Go To Heaven (GBGTH) membuatkan ramai individu berani tampil berkongsi pengalaman menjadi mangsa...

CATEGORIES