KUALA LUMPUR: Pelakon, Karl Shafek memaklumkan keadaan kesihatannya semakin baik meskipun masih menghidap penyakit autoimun, ankylosing spondylitis sejak 2019.
Menurut Karl, penyakit tersebut kini berada dalam keadaan terkawal, namun dia masih perlu mengambil ubat dan menjaga gaya hidup bagi mengelakkan keradangan menjadi lebih serius.
“Saya masih menghidap penyakit autoimun itu. Kalau tengok mata saya pun sentiasa merah dan itu sebenarnya kesan daripada radang yang ada dalam badan. Cuma sekarang keadaannya terkawal dan saya masih mengambil ubat.
“Alhamdulillah, setakat ini masih ada serangan kecil sekali-sekala kerana kita tidak tahu bila penyakit autoimun ini akan menyerang atau mengganggu sistem badan.
“Namun, keadaannya tidak lagi seteruk dahulu sehingga saya tidak boleh bangun berbulan-bulan. Dahulu, badan saya juga pernah tiba-tiba tumbuh lepuh seperti cacar air, tetapi sudah kira-kira empat atau lima tahun perkara itu tidak berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Karl memberitahu penyakit tersebut menyerang bahagian tulang belakang dan menyebabkan dia kerap mengalami sakit belakang sehingga kini.
“Kesannya juga boleh mengganggu sendi pada tulang belakang dan menyebabkan keradangan. Kadang-kadang boleh membengkak sehingga menyebabkan saya tidak boleh bangun.
“Pada 2019, saya pernah terlantar di atas katil selama tiga bulan. Ketika itu, saya memang perlu dibantu dan diangkat untuk ke tandas. Dahulu saya perlu mengambil sehingga 16 ubat sehari, tetapi sekarang jumlahnya sudah dikurangkan dan saya hanya mengambil lima ubat sehari.
“Saya perlu memastikan tahap keradangan dalam badan sentiasa terkawal. Kalau bacaan meningkat sehingga 60 atau 70, saya perlu mula risau. Ketika itu, mungkin ubat perlu ditambah atau saya perlu menjalani terapi seperti fisioterapi,” jelasnya.
Susulan keadaan kesihatan tersebut, Karl turut mengubah gaya hidup dengan mengurangkan beban kerja, selain mengelakkan aktiviti fizikal yang boleh memberikan hentakan kuat terhadap tulang belakang.
“Sebenarnya saya teringin menyertai HYROX atau maraton. Tetapi tidak boleh kerana tulang belakang saya tidak boleh menerima hentakan terlalu kuat demi menjaga aliran darah.
“Saya masih boleh melakukan aktiviti seperti mendaki secara perlahan dan bersenam seperti biasa kerana berisiko mencetuskan semula penyakit tersebut,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Karl bakal muncul dalam pementasan teater Tomyam Berdarah terbitan CTRA Production diPanggung Seni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi pada 28 sehingga 30 Ogos ini.
Selain Karl, panggung teater itu juga akan diserikan oleh pelakon senior, Juhara Ayob serta pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan UKM.
Sumber – Utusan





