KUALA LUMPUR: Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) bersedia menjadi wakil peguam kepada 29 rakyat Malaysia peserta Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang diculik tentera Israel.
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby, berkata pihaknya kini terputus hubungan sepenuhnya dengan semua delegasi selepas mereka ditahan di laut antarabangsa.
Katanya, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang dilatih sebelum misi bermula, semua peserta diminta membuang telefon bimbit masing-masing apabila berdepan situasi genting bagi mengelakkan data peribadi dan dokumen penting jatuh ke tangan Israel.
“Apabila mereka diculik, kita secara penuh terputus hubungan dengan semua delegasi Malaysia dan delegasi dunia.
“Langkah itu diambil kerana jika telefon bimbit dirampas, penjajah pastinya akan menggodam serta mengambil semua dokumen atau maklumat penting,” katanya pada sidang media di SNCC di Sepang, hari ini.
Beliau berkata, pasukan guaman daripada Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) dan ADALAH sudah digerakkan lebih awal melalui kerjasama antarabangsa termasuk di Greece, Jordan dan Mesir bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Bagaimanapun, beliau berkata, sehingga kini pasukan ADALAH yang berada di lapangan khususnya di Pelabuhan Ashdod masih belum dapat mengesahkan kehadiran semua tahanan terbabit.
“Kita nampak ada helah apabila mereka melambatkan tahanan ini dibawa ke darat kerana sebaik sahaja dibawa masuk ke darat, mereka perlu akur dengan undang-undang yang mereka sendiri tetapkan dalam tempoh 24 jam.
“Namun pihak kita sudah bersedia dan sekiranya semua tahanan tiba di Pelabuhan Ashdod, ADALAH bersedia menjadi wakil peguam,” katanya.
Beliau berkata, tekanan antarabangsa kini semakin memuncak kerana misi flotila kali ini turut disertai individu berprofil tinggi termasuk adik kepada Presiden Ireland.
“Bukan sahaja ada aktivis biasa, tetapi mereka mewakili pelbagai blok dan organisasi antarabangsa termasuk Kesatuan Eropah (EU).
“Dunia sedang bangkit bukan sahaja untuk bersuara mengenai Gaza, tetapi melihat bagaimana rejim Israel secara perlahan-lahan mengambil alih wilayah itu secara de facto,” katanya.
Sani Araby berkata, SNCC juga bimbang dengan keselamatan semua peserta yang kini dipercayai berada dalam tahanan.
“Mereka mungkin dipukul dan berhadapan tindakan agresif. Namun kita yang masih berada di luar ini akan terus melaksanakan apa yang termampu.
“Jika dalam tempoh 48 jam tiada maklumat mengenai pendaratan di Pelabuhan Ashdod, saya kira ia satu insiden yang perlu diberi perhatian serius dan campur tangan dunia,” katanya.
Sumber – Berita Harian





