PUTRAJAYA: Pengarah filem Konspirasi, Ghaz Abu Bakar mengakui terpaksa menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi melengkapkan beberapa adegan selepas berlaku kemalangan melibatkan pelakon lagak ngeri di lokasi penggambaran.
Menurut Ghaz, 51, penggunaan AI hanya sekitar 10 peratus memandangkan produksi berdepan kekangan masa untuk menjalani penggambaran semula.
“Berlaku kemalangan yang tidak diingini di set penggambaran sehingga menyebabkan pelakon lagak ngeri mengalami patah rahang dan terpaksa dikejarkan ke hospital. Kecederaannya agak serius dengan kos rawatan mencecah RM60,000.
“Disebabkan insiden itu, kami berdepan kekangan masa yang sangat kritikal. Ditambah pula faktor cuaca hujan yang tidak menentu serta jadual pelakon yang padat, kami tidak mempunyai pilihan untuk menjalani penggambaran semula bagi babak berkenaan,” katanya.
Ghaz berkata demikian pada sidang media filem Konspirasi di IOI City Mall, baru-baru ini.
Dalam pada itu, pengarah filem Polis Evo itu menegaskan penggunaan AI dalam industri perfileman perlu mempunyai batas dan hanya digunakan sebagai alat sokongan.
“Pada pandangan saya, AI boleh digunakan untuk menambah baik sesuatu babak, tetapi jangan sampai digunakan 100 peratus kerana ia boleh membuatkan kita menjadi malas dan hilang kreativiti.
“Paling penting, saya mahu mempertahankan nasib pekerja industri. Jika semua perkara diserahkan kepada AI, lama-kelamaan peluang pekerjaan untuk pelakon dan kru akan terjejas. Kita tidak mahu budaya hanya ‘imbas muka’ dan semuanya diselesaikan mesin.
“Proses menyiapkan filem ini sangat mencabar. Kami menjalani penggambaran dalam cuaca panas dan berembun, malah ada yang keluar pagi dan pulang pagi. AI hanyalah alat bantuan ketika kecemasan, namun usaha keras tenaga kerja di belakang tabir tetap tidak boleh digantikan,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai Konspirasi, Ghaz menyifatkan naskhah tersebut sebagai eksperimen berani yang menggabungkan dunia penggodaman siber dan realiti gelap rasuah dalam landskap politik semasa.
“Kita tahu rasuah memang berlaku. Saya bukan mahu menyentuh sesuatu yang dianggap tabu, tetapi mahu memaparkan sisi baik dan buruk sesuatu tindakan. Yang baik akan menerima balasan baik, manakala yang jahat tetap menerima akibatnya.
“Apa yang cuba disampaikan ialah kesan pengambilan rasuah sehingga boleh menjejaskan institusi keluarga dan keturunan,” katanya.
Konspirasi mengisahkan pasukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memburu seorang pakar siber yang terlibat dalam kebocoran data sehingga mencetuskan krisis politik negara.
Filem itu turut dibintangi Adi Putra, Alicia Amin, Sarimah Ibrahim serta Hisyam Hamid dan bakal menemui penonton pada 21 Mei ini.
Sumber – UTUSAN





