SIAPA tahu, meski pernah berlakon dalam ratusan naskhah sekali pun, bintang bertubuh kekar, Zul Ariffin mengakui mengimpikan masuk senarai dalam naskhah hasil air tangan sutradara generasi baharu, Razaisyam Rashid.
Impian tersebut menjadi realiti apabila membintangi filem aksi berjudul Tarung: Unforgivenyang mula ditayangkan sejak 7 Mei lalu di pawagam seluruh negara.
Zul atau nama penuhnya Zulkifli Ariffin sebenarnya tidak menyangka peluang berada dalam naskhah arahan Razaisyam hadir awal daripada yang dijangka.
“Sejak dahulu, saya tahu satu hari nanti akan bekerja dengan Razaisyam tetapi tidak tahu projek apa.
“Saya fikir mungkin kami akan bekerjasama pada usia saya 50 tahun tetapi alhamdulillah rezeki datang awal selepas Aedy Ashraf muncul dan suarakan tentang filem ini.
“Kemudian saya tertarik, ditambah pula dengan usaha Aedy yang sangat komited sebagai penerbit, itu antara alasan mengapa saya berada dalam Tarung bersama barisan pelakon luar biasa,” katanya.
Memegang watak sebagai Ayah Badrul, Zul menyifatkan naskhah tersebut sebagai antara filem terbaik pernah dibintanginya ditambah dengan himpunan barisan pelakon muda berbakat besar.
“Filem ini sangat mengagumkan dan dihasilkan dengan baik. Melihat prestasi semua pelakon seperti Mierul, Aedy, Amir, Azira buat saya rasa sangat bertuah dapat terlibat dalam Tarung.
“Bekerja dengan Razaisyam, dia sangat teliti sehingga ke sekecil-kecil perkara pun. Babak yang kalian tonton jeritan ‘Tarung’ sebelum perlawanan itu pun, dia ada di bawah kaki pelakon tersebut,” jelasnya.
Berkongsi lanjut, Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-31 itu bagaimanapun melihat sisi cerewet dan teliti Razaisyam berjaya menghasilkan sebuah naskhah yang sangat hebat.
Dia juga tidak merasakan teguran atau permintaan kecil pengarah tersebut sebagai sesuatu yang merimaskan.
“Ada juga babak yang dia kurang puas hati dengan ‘posture’ badan dan nada suara saya tapi tidak rasa perkara itu menjengkelkan.
“Saya sukakan semangat begitu yang sentiasa mengalir. Bila dia tegur orang lain pun, saya bersama pelakon lain sentiasa perhati.
“Semua itu bagus sebab objektif yang hendak dicapai iaitu hasil terbaik dapat dilakukan bersama,” jelasnya.
Janji
Mengimbas semula watak dan karya yang pernah diterajui, anak kelahiran Taiping, Perak itu tidak pernah terlibat dalam naskhah yang mengangkat tema gengsterisme kerana berpegang janji kepada diri sendiri.
“Kalau bercakap tentang peralihan watak berbanding kebiasaan yang saya lakukan, memang berbeza.
“Secara peribadi, sebenarnya dahulu saya pernah kata, tak akan terlibat dengan sebarang filem mengetengahkan gengsterisme. Itu janji saya pada diri sendiri dalam kerjaya sebagai pelakon.
“Tapi bila saya dengar pihak produksi iaitu Alpha 47 dan Aedy beritahu tentang Tarung, saya ambil risiko itu,” jelasnya lagi.
Sanggup melanggar prinsip selain melihat filem tersebut tidak mempromosikan tentang keganasan berunsur gengsterisme.
“Sebab apa yang anda tengok, Tarung tidak mempromosikan keganasan atau tunjukkan sisi dunia gelap punya perniagaan.
“Saya dan Bront memang ahli perniagaan berkaitan jenayah tetapi kami tak tunjukkan itu. Skrip pula lebih kepada emosi, dendam, persahabatan, keluarga dan menjaga antara satu sama lain,” tutupnya.
Sumber – Kosmo! Online\





