SUBANG JAYA – Hati belum dimiliki sesiapa, pelakon Mawar Rashid menamatkan teka-teki apabila mengakui kemunculan jejaka misteri sempena Aidilfitri lalu hanyalah gimik pemasaran bagi mempromosikan muzik video raya.
Ujar Mawar atau nama sebenarnya Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, 31, ramai masih menyangka dia kini sedang dilamun cinta kerana tidak mengikuti perkembangan terkini selepas hantaran tersebut.
“Ramai masih ingat hantaran itu sampai sekarang sebab mungkin mereka tidak mengikuti perkembangan selepas itu.
“Sebenarnya, hantaran tersebut hanya untuk tujuan pemasaran muzik video raya, lagu raya sahaja.
“Tiada apa-apa lebih daripada itu,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambah bintang filem Jangan Pandang Belakang 2 itu, fokus kehidupannya kini lebih tertumpu kepada kerjaya, perniagaan dan membesarkan anak-anak.
“Sekarang saya sibuk dengan penggambaran drama. Selain itu, saya fokus pada anak-anak, perniagaan dan diri sendiri.
“Memang tiada masa untuk fikir perkara lain,” ujarnya pada malam gala media filem Nar’sata: Sekutu Setan, di sini, kelmarin
Malah, Mawar mengakui hampir tiga tahun hidup sendiri menjadikan keutamaan berubah sepenuhnya kepada keluarga kecilnya.
Dalam masa sama, dia memilih untuk menyerahkan soal jodoh kepada ketentuan Ilahi tanpa sebarang tekanan.
“Sudah hampir tiga tahun saya sendiri. Buat masa ini memang tiada masalah, cuma tiada masa untuk berjumpa sesiapa sebab anak-anak masih kecil.
“Macam saya cakap, keutamaan saya memang anak-anak. Setakat ini, fokus saya hanya pada anak-anak, cari rezeki dan urus perniagaan.
“Soal jodoh atau buka hati, saya serahkan kepada Allah,” luahnya.
Terdahulu, Mawar mencetuskan spekulasi apabila memuat naik gambar bersama seorang lelaki misteri menjelang Aidilfitri, lengkap dengan busana sedondon, namun identiti individu tersebut dirahsiakan dengan emoji.
Untuk rekod, Mawar pernah mendirikan rumah tangga bersama usahawan Raden Muhammad Rafael pada November 2017 sebelum bercerai pada November 2023.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Raden Muhammad Rafael, 6, Raden Seri Rosabella Cinta, 5, dan Raden Seri Riyanna Sayang, 3.
Sumber – KOSMO! ONLINE.





