KUALA LUMPUR – Penyanyi remaja semakin meningkat naik, Oddah menafikan dakwaan kononnya dia tidak lagi mahu meneruskan sesi persekolahannya semata-mata ingin fokus terhadap kerjaya sebagai penyanyi 100 peratus.
Menurut Oddah atau nama sebenarnya Auddra Zulkifly, 17, dia masih meneruskan sesi ‘home school’ dan akan fokus dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selepas Julai nanti.
“Ramai orang kecam saya kata saya berhenti sekolah. Sebenarnya bukan saya berhenti. Saya ‘home school’. Cikgu datang ajar saya di rumah. Saya juga ambil kelas tambahan. Pelajaran masih penting buat saya.
“Selepas Julai nanti memang saya batalkan banyak ‘job’ sebab saya nak fokus pada SPM.
“Pihak pengurusan saya dan Mak Iti (Siti Nurhaliza) sendiri mahu saya fokus dengan SPM. Mereka kata lepas habis SPM baru mereka akan ‘push’ saya,” katanya kepada Kosmo Online.
Tambah bekas peserta Talk To My Manager musim itu lagi, ibunya iaitu Sharifah Shahirah tidak pernah ‘menekannya’ untuk menjadi anak yang cemerlang dalam pelajaran, namun tetap mementingkan ilmu untuk kelangsungan hidup.
“Mama kata dia tidak minta saya dapat ‘straight A’. Dia hanya mahu saya ambil SPM dan lulus. Dapat 2A pun tak apa.
“Tetapi biarpun mama cakap macam tu, saya tak akan ambil sambil lewa. Sebagai pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM, sudah tentu saya juga mengimpikan keputusan yang cemerlang,” jelasnya.
Mengulas tentang keinginannya untuk membantu keluarga dari segi kewangan, kata Oddah, biarpun ibu dan bapanya masih mampu menanggungnya, namun sebagai anak yang sudah bekerja dia juga mahu menyumbang kepada keluarga.
“Mak Iti sendiri sudah bekerja sejak berusia 16 tahun dan membantu keluarga. Sebenarnya nak cari rezeki ni tak kisah umur berapa pun.
“Mungkin sudah keturunan daripada mama dan mak cik saya iaitu Sharifah Sakinah lagi. Kami tak boleh duduk diam dan suka bekerja.
“Daripada saya keluar berpelesiran tak buat apa-apa, lebih baik saya keluar bekerja,” katanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE





