Saturday, June 27, 2026
HomeBERITABiasiswa KFC Merealisasikan Impian Pelajar B40 Masuk Universiti

Biasiswa KFC Merealisasikan Impian Pelajar B40 Masuk Universiti

Cyberjaya: Program Biasiswa KFC oleh pihak KFC Malaysia memberi sinar kepada 40 pelajar terpilih dari golongan B40 untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di universiti awam tempatan.

Pelajar Fakulti Pergigian Universiti Kebangsaan Malaysia, Wong Wei Lik, 19, menyifatkan biasiswa yang diterimanya tidak hanya meringankan beban kewangan keluarganya tetapi juga dapat merealisasikan impiannya melanjutkan pengajian.

Menurut anak bongsu dari empat beradik ini, dia juga tidak menyangka akan ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pengajian dalam bidang pergigian kerana kos pengajian dalam bidang itu sangat tinggi.

“Saya dibesarkan oleh ibu yang bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan RM900 sebulan”.

“Oleh itu, biasiswa ini sangat penting kerana saya tidak mahu membebankan ibu yang selama ini sudah berkerja keras membesarkan kami dari kecil.

“Dengan bantuan ini juga, saya boleh melanjutkan pengajian dengan tenang tanpa masalah kewangan dan menjadi pakar bedah gigi sekali gus memberi impak terhadap komuniti di masa hadapan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penganugerahan Biasiswa KFC di KFC Edusphere Cyberjaya, baru-baru ini.

Majlis itu dirasmikan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan QSR Brands Nehchal Khanna, Pengarah Bukan Eksekutif QSR Brands (M) Holdings Bhd, Mohd Nordin Jamaluddin, Ketua KFC Malaysia Loi Liang Tok dan Ketua Pegawai Penjenamaan QSR Brands (M) Holding, Ridzwan Othman.

Bagi Haajaratul Nabila Rosman, 21, dia bersyukur ditawarkan biasiswa yang diketahui menerusi carian di internet.

Menurut pelajar tahun satu Jurusan Teknologi Maklumat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dia menghantar permohonan kerana mahu melanjutkan pengajian tanpa membebankan keluarga terutama adik-beradik lain yang mempunyai komitmen sendiri.

“Biasiswa ini cukup bermakna buat saya dan menguatkan lagi semangat untuk menyambung pengajian serta membolehkan saya menggapai cita-cita menjadi penganalisis data sekali gus menunaikan hasrat arwah ayah yang mahu semua anak-anaknya menceburi bidang yang berbeza,” katanya.

Wei Lik dan Haajaratul Nabila adalah antara penerima biasiswa menerusi Program Biasiswa KFC yang ditawarkan khas kepada pelajar dari keluarga B40 yang layak dan sudah menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda daripada universiti awam tempatan.

Tahun ini, seramai 40 pelajar terpilih menerima biasiswa ini membabitkan nilai RM2.1 juta inisiatif QSR Brand (M) Holdings Berhad dan KFC Malaysia.

Biasiswa KFC adalah lanjutan daripada Add Hope Foundation iaitu cabang amal KFC Malaysia yang memberi tumpuan kepada pembangunan dan kebajikan masyarakat.

Ridzwan berkata KFC Malaysia sudah memperuntukkan RM2.1 juta bagi menyokong pendidikan dan pelajar kurang berkemampuan khususnya daripada golongan B40 yang menghadapi kekangan kewangan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

“Keutamaan kami adalah golongan B40 dan melalui ini KFC ingin merapatkan jurang peluang pendidikan dan mencipta laluan untuk pelajar yang berdaya saing serta berkelayakan mencorak masa depan cemerlang.

“Justeru, kualiti yang dicari dalam penerima biasiswa termasuk potensi akademik, kepimpinan beretika, pemikiran kritis, kreativiti, dan kemampuan bekerja dalam pasukan bagi memastikan mereka dapat melanjutkan pengajian sebaiknya sekali gus berjaya dan menjadi pemimpin yang membawa perubahan positif, “katanya.

Sementara itu, Nik Nazmi Nik Ahmad berharap pemberian biasiswa kepada pelajar B40 itu dapat memberi impak positif kepada pendidikan dan masyarakat.

“Kami di peringkat kerajaan mengalu-alukan inisiatif tanggungjawab sosial terutama dalam bidang pendidikan yang tidak hanya memberi impak besar di masa hadapan, malah kehidupan individu dan komuniti setempat.

“Kita tahu ada beberapa pihak lain juga memainkan peranan ini dan kita ucapkan tahniah kepada KFC kerana turut serta dalam menyediakan inisiatif ini,” katanya.

Sumber – Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Batik Air Perkukuh Rangkaian Asia dengan Pelancaran Laluan Kuala Lumpur–Shanghai

0
KUALA LUMPUR, 24 JUN 2026 – Batik Air terus mengukuhkan kehadirannya di China dengan pelancaran perkhidmatan terus baharu antara Kuala Lumpur dan Shanghai, sekali...

CATEGORIES