Tuesday, November 17, 2026
HomeHIBURANASEAN Perkukuh Kesiapsiagaan Tentera Hadapi Ancaman Baharu

ASEAN Perkukuh Kesiapsiagaan Tentera Hadapi Ancaman Baharu

MELAKA, 16 November – Negara-negara ASEAN perlu memperkukuh kesiapsiagaan dan kerjasama ketenteraan bagi menghadapi ancaman keselamatan baharu yang semakin kompleks, termasuk ancaman siber, maklumat dan bencana alam.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perubahan persekitaran keselamatan menuntut angkatan tentera negara anggota menyesuaikan keupayaan masing-masing dengan cabaran baharu yang saling berkait dan merentasi sempadan.

“Ancaman keselamatan tradisional masih wujud, sementara cabaran baharu dan bukan tradisional menjadi semakin kompleks serta saling berkait.

“Teknologi mengubah cara angkatan tentera kita beroperasi. Ancaman siber dan maklumat pula merentasi sempadan negara, selain bencana alam yang terus memberi kesan kepada masyarakat serta mewujudkan tuntutan baharu terhadap angkatan tentera,” katanya.

Turut hadir Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Azhan Haji Md. Othman, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Mohamad Suria Mohamad Saad; Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Khairul Azmizal Ahmad Natal; Panglima Divisyen Keempat Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Dato’ Hj Mohd Shauari Hj Mat Piah serta Pegawai-Pegawai Kanan TDM.

Persidangan anjuran Tentera Darat Malaysia (TDM) itu berlangsung dari 16 hingga 19 November ini, menghimpunkan delegasi 10 negara serantau bagi mempererat hubungan persahabatan, persefahaman serta kerjasama ketenteraan dan pertahanan.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, kesiapsiagaan menghadapi ancaman baharu tidak boleh bergantung kepada keupayaan negara secara bersendirian kerana perkembangan di luar sempadan turut berpotensi memberi kesan kepada keselamatan masing-masing.

“Tiada negara boleh menganggap dirinya akan kekal tidak terjejas oleh perkembangan di luar sempadannya. Begitu juga, tiada angkatan tentera boleh hanya membuat persediaan untuk cabaran yang sudah difahaminya.

“Keadaan ini menunjukkan kesiapsiagaan hari ini tidak boleh dilihat dari sudut kepentingan negara masing-masing semata-mata, sebaliknya turut memerlukan persefahaman dan keupayaan untuk bertindak bersama apabila keadaan memerlukan,” katanya.

Menurutnya, kesiapsiagaan kolektif bukan bermaksud negara anggota perlu mengetepikan kedaulatan atau tanggungjawab pertahanan masing-masing, sebaliknya membina hubungan dan mekanisme kerjasama sebelum sesuatu krisis berlaku.

“Kesiapsiagaan kolektif bukan bermaksud mewujudkan satu pendekatan untuk semua negara. Ia juga bukan bertujuan mengurangkan kedaulatan negara atau menggantikan tanggungjawab nasional masing-masing.

“Sebaliknya, ia memastikan apabila angkatan tentera ASEAN perlu bekerjasama, hubungan, persefahaman dan mekanisme praktikal sudah tersedia. Kesiapsiagaan kolektif tidak boleh dibina ketika krisis berlaku, sebaliknya perlu dibina jauh lebih awal,” katanya.

Beliau berkata, ACAMM menjadi platform penting kepada Panglima-Panglima Tentera Darat untuk bertukar pandangan dan memperkukuh kesiapsiagaan pasukan darat ASEAN, manakala ASMAM memberi penekanan kepada kepimpinan, disiplin serta profesionalisme anggota.

Tan Sri Dato’ Sri Azhan Haji Md. Othman (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat Multilateral Ketua-Ketua Tentera Darat ASEAN ke-27 (ACAMM) dan Mesyuarat Tahunan Sarjan Mejar ASEAN ke-14 (ASMAM) di Hotel DoubleTree by Hilton, di Melaka malam tadi.

Katanya, Sarjan Mejar memainkan peranan penting sebagai penghubung antara arahan pemerintahan dengan pelaksanaan di lapangan, selain memastikan standard dan disiplin anggota terus dipelihara.

“Sarjan Mejar menduduki kedudukan penting dalam angkatan tentera kita. Mereka menjadi penghubung antara hasrat dan arahan pemerintahan dengan pelaksanaannya di lapangan.

“Mereka memastikan standard dipatuhi, memperkukuh disiplin, membangunkan anggota serta membantu memastikan setiap unit kekal profesional dan bersedia,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, kerjasama erat antara negara anggota perlu terus diperkukuh bagi memastikan rantau ini kekal stabil dan selamat.

“Tujuan angkatan tentera bukan untuk melancarkan peperangan atau mencetuskan konflik, tetapi memastikan konflik tidak diperlukan dan sentiasa dapat dicegah.

“Keupayaan ketenteraan, profesionalisme dan kesiapsiagaan seharusnya dilihat bukan sebagai demonstrasi kekuatan, tetapi sebagai manifestasi komitmen bersama terhadap keamanan dan kestabilan,” katanya.

Untuk rekod, ACAMM merupakan platform pertemuan tahunan Panglima-Panglima Tentera Darat negara anggota ASEAN yang mula dianjurkan pada tahun 2000 di Thailand, manakala ASMAM menghimpunkan Sarjan Mejar Rejimen Tentera Darat serta pemimpin Pegawai Tanpa Tauliah (PTT) negara anggota ASEAN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Isi Minyak Guna Suara Pelbagai Bahasa Pertama Di Malaysia

0
Aplikasi mobiliti tempatan, Setel memperkenalkan Voice Fuelling iaitu ciri berkuasa AI yang membolehkan pengguna mengaktifkan pam minyak hanya dengan menggunakan arahan suara. Kini dalam fasa...

CATEGORIES