KUALA LUMPUR – “Jika tidak ‘menjadi’ dalam tempoh dua tahun ini, saya akan kembali memberikan tumpuan kepada bidang guaman.”
Itu kata pelakon baharu, Sharmaine Alexander, 26, yang mengambil langkah berani berehat seketika daripada kerjayanya sebagai peguam demi bergelar anak seni.
Menurut Sharmaine atau nama sebenar, Sharmaine Ilenna Rudy Alexander, dia ingin memanfaatkan tempoh dua tahun sebaik mungkin dengan berusaha menaikkan nama dalam industri seni.
:Saya mempunyai kontrak bersama Rocketfuel Entertainment selama dua tahun. Jadi, dua tahun inilah saya akan berusaha sedaya-upaya menaikkan nama saya.
“Tempoh dua tahun ini saya korbankan saya punya ‘junior year’ dan gelaran ‘junior lawyer’ untuk kejar sesuatu yang orang lain tiada peluang. Saya rasa tidak salah untuk kita usaha sahaja apa yang kita dapat,” katanya.
Berkongsi mengenai restu keluarga, Sharmaine menzahirkan rasa syukur kerana sentiasa mendapat sokongan daripada ahli keluarganya meskipun sudah berpenat-lelah menimba ilmu dalam bidang perundangan.
“Keluarga saya okay sahaja, mereka minta saya untuk kejar apa yang buat saya gembira. Mereka sangat-sangat menyokong dan mengambil berat tentang saya,” katanya lagi.
Mengaku apa dilakukan sebagai suatu pengorbanan besar, bekas peserta Dewi Remaja 2025 ini melihat ia adalah keputusan yang positif kerana diberi ruang untuk meneroka bidang seni dengan lebih mendalam.
“Macam yang saya cakap, orang lain tiada peluang macam saya ada. Kawan-kawan peguam saya yang lain, itu sahaja laluan yang mereka ada.
“Tetapi saya ada peluang untuk ceburi bidang lain dan mungkin berkembang dalam bidang seni ini. Saya fikir itu sangat memuaskan bagi saya,” katanya.
Ditanya sama ada bimbang jika kerjayanya melonjak dengan pantas, Sharmaine yang baru berkecimpung dalam industri seni selama 10 bulan ini menegaskan populariti mendadak itu menjadi pembakar semangatnya untuk bekerja lebih keras.
“Saya tidak bimbang bila saya naik terlalu laju, bagi saya bila orang mengenali saya, ia adalah alasan untuk saya bekerja lebih keras lagi.
“Sebab apa yang saya ada sekarang, ia boleh jadi sementara, jadi saya sebenarnya lebih bersemangat untuk usaha lagi,” katanya yang tercalon dalam Top 10 kategori Artis Baharu Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-38.
Sumber – Berita Harian





