Thursday, March 12, 2026
HomeSUKANMexico Juara Piala Emas CONCACAF Kali Ke-10

Mexico Juara Piala Emas CONCACAF Kali Ke-10

HOUSTON, Amerika Syarikat: Mexico berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Emas CONCACAF selepas menewaskan Amerika Syarikat 2-1 pada final penuh dramatik pagi tadi, sekali gus menjulang trofi buat kali ke-10 – satu rekod baharu kejohanan.

Ketua pasukan Mexico, Edson Alvarez muncul wira apabila menanduk masuk gol kemenangan 13 minit sebelum tamat, melengkapkan kebangkitan pasukannya dalam pertarungan sengit antara seteru serantau yang juga bakal menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia 2026.

Kemenangan itu dianggap layak diraih oleh skuad ‘El Tri’ selepas menguasai sebahagian besar permainan menentang AS yang dibimbing Mauricio Pochettino dan turun dengan barisan pemain muda tanpa beberapa tonggak utama.

Bagi Alvarez, jaringan penentu itu menjadi detik penuh emosi kerana dia pernah mengalami kecederaan teruk di stadium sama ketika aksi pembukaan Copa America tahun lalu.

“Ia benar-benar saat yang menyentuh hati saya,” kata pemain tengah West Ham itu.

Pemain tengah Mexico, Edson Alvarez (jersi nombor 4) menanduk masuk gol kemenangan mengatasi penjaga gol AS, Matthew Freese. – Foto REUTERS
Pemain tengah Mexico, Edson Alvarez (jersi nombor 4) menanduk masuk gol kemenangan mengatasi penjaga gol AS, Matthew Freese. – Foto REUTERS

 

“Sejak tiba di Houston, saya tidak henti-henti teringatkan kekecewaan dahulu. Saya cuma berdoa untuk diberi satu lagi kegembiraan dan saya dapatnya hari ini.”

AS bermula cemerlang apabila pertahanan tengah Chris Richards menanduk masuk gol seawal minit keempat di depan hampir 71,000 penyokong di Stadium NRG, Houston.

Namun Mexico tidak menunggu lama untuk bangkit. Pada minit ke-24, pemain remaja sensasi berusia 16 tahun, Gilberto Mora hampir menyamakan kedudukan tetapi percubaannya diselamatkan penjaga gol AS, Matt Freese.

Hanya tiga minit kemudian, Mexico akhirnya menyamakan kedudukan apabila Marcel Ruiz membuat hantaran cantik kepada penyerang veteran Raul Jimenez, yang meledak rembatan padu menerjah jaring.

Jimenez kemudian meraikan jaringan itu dengan menayang jersi bernombor 20 milik mendiang bekas rakan sepasukan di Wolverhampton Wanderers, Diogo Jota, pemain Portugal dan Liverpool yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Sepanyol minggu lalu.

 

Pemain Mexico, Edson Alvarez dinobat sebagai pemain terbaik kejohanan Piala Emas CONCACAF. – Foto REUTERS
Pemain Mexico, Edson Alvarez dinobat sebagai pemain terbaik kejohanan Piala Emas CONCACAF. – Foto REUTERS

 

Gol kemenangan hadir pada minit ke-77, apabila sepakan percuma Johan Vazquez ditanduk Alvarez untuk menewaskan Freese.

Gol itu pada awalnya dibatalkan kerana ofsaid, namun semakan VAR membuktikan Alvarez berada dalam kedudukan sah, sekali gus mengesahkan jaringan itu.

Mexico kini meraih gelaran Piala Emas buat kali ke-10, tiga kejuaraan lebih banyak berbanding AS yang memiliki tujuh trofi.

“Sudah tentu kami kecewa kerana tidak dapat membawa pulang kemenangan,” kata kapten AS, Tim Ream.

Sumber – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

YKAT Bantu Sathiya Dapat Kaki Palsu, Pencen Bulanan RM500

0
PETALING JAYA – Prihatin dengan nasib pelawak Sathiya, Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) mempertimbangkan untuk menyenaraikan artis veteran itu sebagai antara penerima bantuan pencen...

CATEGORIES