Tuesday, May 26, 2026
HomeHIBURANKL Headline Season 2026 Jadikan Kuala Lumpur Hub Konsert Asia

KL Headline Season 2026 Jadikan Kuala Lumpur Hub Konsert Asia

KUALA LUMPUR – Penganjur konsert antarabangsa, Live Nation Malaysia optimis Kuala Lumpur mampu muncul sebagai antara destinasi utama jelajah muzik global di Asia menerusi penganjuran KL Headline Season 2026.

Inisiatif mega yang dibangunkan bersama PR Worldwide, malaysia.travel dan celcomdigi.com itu bakal menyaksikan 25 artis antarabangsa membuat persembahan di enam lokasi utama sekitar ibu negara sepanjang tahun depan.

Lebih menarik, acara tersebut dijangka dapat menarik kehadiran kira-kira 500,000 peminat muzik dari Malaysia serta seluruh rantau Asia.

Pengarah Urusan Live Nation Malaysia, Paramananthan Rajagopal berkata, perubahan landskap hiburan tempatan membuktikan Kuala Lumpur kini semakin diyakini industri jelajah antarabangsa.

“Dulu peminat Malaysia sanggup terbang ke Singapura, Bangkok, Seoul, Tokyo, China atau Australia untuk menyaksikan konsert artis dunia.

“Kini, jelajah terbesar dunia membabitkan ramai penghibur antarabangsa pula datang ke Kuala Lumpur,” katanya ketika majlis pelancaran KL Headline Season 2026, malam tadi.

Katanya, kejayaan itu bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, penaja, pengendali lokasi, agensi pelancongan, media, penganjur dan peminat sendiri.

“Kita berjaya menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya yang dipercayai seluruh industri jelajah global, mampu menganjurkan produksi bertaraf antarabangsa dan memiliki antara kelompok peminat paling bersemangat di rantau ini.

“Diharap semangat penyatuan demi melihat Malaysia terutama Kuala Lumpur sebagai hub persembahan langsung di rantau ini terus membara,” katanya.

Menurut Paramananthan lagi, Malaysia sudah menganjurkan lebih 400 konsert sepanjang 2024 dengan memberikan impak ekonomi yang besar termasuk bagi sektor pelancongan melebihi RM553 juta.

“Menerusi acara persembahan ini, industri hiburan langsung juga dijangka menyumbang hampir RM1.7 bilion kepada ekonomi tempatan bagi musim 2026.

“Konsert bukan lagi sekadar hiburan, sebaliknya menjadi pemangkin ekonomi yang memberi manfaat kepada sektor pelancongan, makanan dan minuman, pengangkutan serta membuka ribuan peluang pekerjaan,” katanya.

Akuinya, Kuala Lumpur kini semakin menjadi pilihan peminat dari Indonesia, Thailand, Philippines, Vietnam, Taiwan dan Hong Kong yang datang semata-mata mahu menikmati pengalaman konsert di ibu negara Malaysia.

“KL Headline Season diwujudkan bagi menempatkan Kuala Lumpur secara kukuh dalam peta jelajah global selain mengangkat bandar raya ini sebagai ibu kota hiburan utama Asia,” katanya.

Setakat ini, antara nama besar yang diumumkan bakal memeriahkan KL Headline Season 2026 termasuk The Weeknd, BTS, Laufey, Post Malone serta Kodaline.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh pula berkata, pihaknya bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam usaha memperkemaskan prosedur operasi standard (SOP) serta mempercepat proses kelulusan permit acara bagi memudahkan penganjuran konsert dan persembahan langsung di Kuala Lumpur.

Sebarang maklumat lanjut berkaitan KL Headline Season 2026 boleh latari https://www.livenation.my dan klheadlineseason2026.

Sumber – KOSMO!ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Remaja Hilang Ketika Mendaki Bukit Changkat Asa Ditemui Meninggal Dunia Hari...

0
HULU SELANGOR – Remaja, Nur Izzati Humaira Azizul, 19, yang dilaporkan hilang selepas tersesat ketika menuruni Bukit Changkat Asa, Hulu Selangor sejak Sabtu lalu...

CATEGORIES