HULU SELANGOR – Remaja, Nur Izzati Humaira Azizul, 19, yang dilaporkan hilang selepas tersesat ketika menuruni Bukit Changkat Asa, Hulu Selangor sejak Sabtu lalu ditemui meninggal dunia, di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, jenazah remaja perempuan itu ditemukan oleh anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira pukul 11.59 pagi.
“Mayat mangsa ditemui di kawasan kebun iaitu kira-kira 500 meter dari lokasi terakhir beliau dilihat dan satu kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK),” katanya kepada Kosmo! ketika dihubungi hari ini.
Beliau menambah, mayat mangsa akan dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu bagi tujuan bedah siasat.
Sumber – KOSMO! ONLINE





