Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini mengumumkan pembaharuan kontrak penganjuran Malaysia Motorcycle Grand Prix (MotoGP™ Malaysia) bagi tempoh lima tahun lagi bermula tahun 2027 hingga 2031.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata pembaharuan tersebut telah mendapat kelulusan Jemaah Menteri dan mencerminkan komitmen Kerajaan untuk memastikan Malaysia terus kekal sebagai antara hab utama sukan permotoran dunia.
MotoGP™ Malaysia mula dianjurkan pada tahun 1991 sebelum berpindah ke PETRONAS Sepang International Circuit (SIC) pada tahun 1999. Sepanjang lebih tiga dekad penganjurannya, MotoGP™ Malaysia telah berkembang menjadi antara aset sukan negara yang paling bernilai. Selain mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa, penganjurannya turut menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan industri serta pembentukan bakat sukan permotoran negara.
Menurut Dr Mohammed Taufiq, pembaharuan ini bukan sekadar lanjutan kepada sebuah acara sukan antarabangsa, sebaliknya merupakan keputusan strategik Kerajaan yang dibuat berdasarkan tiga pertimbangan utama.
- MotoGP™ Malaysia merupakan aset dan pelaburan strategik negara yang memberi manfaat kepada sektor pelancongan, hospitaliti, pengangkutan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Kajian impak ekonomi menunjukkan penganjurannya pada tahun 2024 telah menjana sekitar RM694 juta impak ekonomi keseluruhan, mewujudkan lebih 4,400 peluang pekerjaan serta menghasilkan pulangan pelaburan sekitar 6.3 kali ganda kepada negara.
- MotoGP™ Malaysia terus memperkukuh pembangunan bakat dan ekosistem sukan permotoran negara melibatkan pelumba, tenaga teknikal, pengurusan sukan dan teknologi. Menerusi Malaysian Motorsport Development (MDEV), laluan pembangunan bakat yang lebih tersusun telah membuahkan hasil dengan kemunculan pelumba seperti Hakim Danish dan Qabil Irfan yang semakin menyerlah di pentas antarabangsa.
- MotoGP™ Malaysia menjana manfaat ekonomi kepada rakyat melalui peluang pekerjaan, pembangunan industri sokongan serta penglibatan syarikat tempatan sepanjang tahun. Menerusi Pelan Induk Pembangunan SIC 2035, pembangunan SIC berpotensi menarik pelaburan sehingga RM1 bilion serta mewujudkan lebih 5,000 peluang pekerjaan berimpak tinggi pada masa hadapan.
Dr Mohammed Taufiq berkata Kerajaan menerusi KBS kekal komited untuk memperkukuh ekosistem sukan permotoran negara dan berharap pembaharuan kontrak ini akan memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi utama sukan permotoran dunia, di samping membuka lebih banyak peluang ekonomi, memperkasa pembangunan bakat serta melahirkan lebih ramai jaguh sukan permotoran negara.





