Thursday, July 2, 2026
HomeHIBURANGerak Khas 2.0 Beri Nafas Baharu Buat Francais Drama Polis Ikonik Malaysia

Gerak Khas 2.0 Beri Nafas Baharu Buat Francais Drama Polis Ikonik Malaysia

KUALA LUMPUR, 30 JUN 2026 – Selepas lebih dua dekad mencipta sejarah dalam landskap drama tempatan dan lima tahun meninggalkan kerinduan dalam kalangan peminat, sebuah nama yang telah menjadi sebahagian daripada identiti televisyen Malaysia kini kembali menggegarkan layar. Francais drama kepolisan yang sinonim dengan aksi, keberanian dan integriti, Gerak Khas, membuka lembaran baharu menerusi “Gerak Khas 2.0”, yang diraikan menerusi tayangan perdana eksklusif di TGV Suria KLCC hari ini.

Diterbitkan oleh Sarawak Media Group (SMG) dan Skop Productions di bawah sentuhan pengarah lagenda Datuk Dr. Yusof Haslam, serta buat julung kalinya disiarkan oleh TVS, Gerak Khas 2.0 bukan sekadar menghidupkan semula sebuah francais ikonik, malah mengangkatnya ke dimensi baharu menerusi penceritaan yang lebih segar, skala produksi yang lebih besar serta naratif yang dekat dengan realiti Malaysia masa kini.

Sejak diperkenalkan pada tahun 1999, Gerak Khas telah mencatat 20 musim dan 1,054 episod, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara drama televisyen paling berpengaruh dalam sejarah negara. Pengiktirafannya oleh Malaysia Book of Records sebagai drama prime time paling lama bersiaran di Malaysia menjadi bukti pengaruh dan legasi yang terus kekal merentasi generasi.

Kini, selepas Gerak Khas: The Finale melabuhkan tirai pada tahun 2021, siri ini kembali dengan pendekatan yang lebih kontemporari tanpa mengorbankan intipati yang menjadikannya sebuah karya malar segar. Dengan ancaman jenayah yang lebih kompleks, konflik yang lebih mendalam dan visual yang lebih sinematik, Gerak Khas 2.0 bersedia membuka era baharu buat francais terkenal ini.

Babak Baharu, Ancaman Baharu

Gerak Khas 2.0 membawa penonton mengikuti misi berisiko tinggi yang diketuai oleh DCP Dato’ Helmi (lakonan Datuk Dr. Yusof Haslam) bersama Inspektor Anding (lakonan Anding Indrawani) dan Unit Gerak Khas dalam usaha menumpaskan sindiket jenayah terancang. Apa yang bermula sebagai operasi membanteras sindiket dadah akhirnya berkembang menjadi siasatan yang lebih besar apabila negara digemparkan dengan serangan siber misteri yang melumpuhkan sistem komunikasi nasional.

Jejak siasatan membawa pasukan elit ini kepada kewujudan Black Hydra, sebuah sindiket jenayah berteknologi tinggi yang beroperasi secara sulit dan tersusun. Dalam masa yang sama, mereka turut merungkai misteri kehilangan pakar komunikasi negara, Dr. Hariz, yang kesetiaannya menjadi tanda tanya.

Di sebalik aksi mendebarkan dan operasi berisiko tinggi, Gerak Khas 2.0 turut menyelami konflik emosi watak-wataknya, khususnya perjuangan Inspektor Anding untuk melindungi adiknya, Erina, daripada terjerumus ke dalam dunia jenayah. Gabungan konflik peribadi, pengkhianatan dalam pasukan, sabotaj dan musuh yang sentiasa selangkah di hadapan menjadikan setiap episod penuh debaran, sebelum membawa kepada pendedahan bahawa Black Hydra hanyalah sebahagian daripada rangkaian jenayah yang jauh lebih besar.

Menghubungkan Dua Generasi Penonton

Sebagai sebuah kebangkitan semula yang dinanti-nantikan, Gerak Khas 2.0 menghimpunkan semula ramai wajah ikonik yang telah membentuk identiti francais ini selama lebih dua dekad. Antaranya adalah Datuk Dr. Yusof Haslam sendiri, Dato’ Hans Isaac, Erra Fazira, C. Kumaresan, SAC (B) Datuk Shaharon Anuar, Deen Maidin, Salina Saibi dan Tisha Shamsir.

Dalam masa yang sama, siri ini turut memperkenalkan barisan pelakon generasi baharu seperti Anding Indrawani, Nabiha Aimi, Emily Elizabeth, Afiq Muiz, Fezrul Khan, Zen Ng, Meynillen Thamil Selvan serta bakat kelahiran Sarawak, Marzella Sigai, sekali gus mewujudkan kesinambungan antara peminat setia Gerak Khas dan generasi penonton masa kini.

Sarawak Kini Jadi Pentas Utama

Salah satu pembaharuan paling signifikan dalam Gerak Khas 2.0 ialah pemilihan Sarawak sebagai antara lokasi utama penceritaan. Buat pertama kalinya dalam sejarah francais ini, Malaysia Timur bukan sekadar menjadi latar penggambaran, malah memainkan peranan penting dalam perkembangan jalan cerita.

Berlatarbelakangkan keindahan Kuching dan persekitarannya, siri ini menampilkan dimensi baharu yang memperkayakan identiti visual serta naratif Gerak Khas 2.0. Pendekatan ini bukan sahaja memberikan ruang penceritaan yang lebih luas, malah mencerminkan aspirasi untuk mengetengahkan kisah yang lebih inklusif dan mewakili kepelbagaian landskap serta masyarakat Malaysia.

TVS Terus Perkukuh Kedudukan Sebagai Penyiar Nasional

Penerbitan dan penyiaran Gerak Khas 2.0 menandakan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan TVS memperkukuhkan kedudukannya sebagai penyiar nasional. Sebagai saluran televisyen percuma (free-to-air channel) di bawah Sarawak Media Group (SMG), TVS boleh ditonton menerusi Saluran 122 di MYTV, Astro dan juga Unifi TV, selain distrim secara langsung melalui aplikasi TVS INSPIRE.

Sejak dilancarkan pada 10 Oktober 2020, TVS terus berkembang sebagai platform penyiaran yang membawakan kandungan berkualiti merangkumi berita, hal ehwal semasa, dokumentari, hiburan, sukan dan drama, sekali gus memperluaskan capaian serta relevansinya kepada penonton di seluruh negara.

Pembawaan Gerak Khas 2.0 membuktikan komitmen TVS dalam mempersembahkan karya tempatan bertaraf premium yang bukan sahaja mengangkat legasi industri kreatif negara, malah mampu merentasi generasi dan menyatukan penonton daripada pelbagai latar belakang. Langkah strategik ini turut memperkukuhkan portfolio kandungan TVS serta mengukuhkan kedudukannya sebagai antara penyiar yang terus memacu pembangunan industri penyiaran dan kandungan tempatan.

Jangan Lepaskan Tayangan Perdana Gerak Khas 2.0

Orang ramai boleh menyaksikan tayangan rasmi Gerak Khas 2.0 bermula 3 Julai 2026, setiap Jumaat, jam 8.30 malam, secara eksklusif di TVS (Saluran 122 di MYTV, Astro & Unifi TV) serta menerusi aplikasi TVS INSPIRE.

Dengan gabungan nostalgia, aksi yang mendebarkan dan penceritaan yang lebih segar serta relevan, Gerak Khas 2.0 bersedia menghidupkan semula sebuah francais yang telah terpahat dalam sejarah televisyen Malaysia, sekali gus memperkenalkan era baharu drama kepolisan tempatan kepada generasi masa kini.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Kementerian Digital Terajui Transformasi AI Negara

0
PUTRAJAYA, 29 Jun 2026 - Malaysia kini melangkah ke fasa baharu dalam transformasi digitalnya dengan peluncuran rasmi Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 (MD2030) oleh...

CATEGORIES