Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) kekal komited dalam memastikan persekitaran sukan negara bersih dan bebas daripada amalan doping yang bertentangan dengan semangat kesukanan. Menjelang penganjuran Sukan SEA 2027, semua pihak diseru agar lebih peka terhadap isu doping bagi mempersiapkan kontinjen Malaysia ke arah lanskap sukan yang lebih berintegriti.
Sebagai iktibar bersama, ketegasan dalam pengurusan kes anti-doping baru-baru ini menyaksikan dua atlet bina badan negara dikenakan hukuman penggantungan, masing-masing selama tiga dan empat tahun, bermula 16 Disember 2025. Tindakan ini diambil secara telus susulan pengujian semasa pertandingan, di mana makmal yang diiktiraf Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) di Doha mengesahkan kehadiran bahan terlarang iaitu stanozolol dan metenolone. Sehubungan itu, kedua-dua atlet berkenaan dilarang sama sekali daripada menyertai sebarang aktiviti sukan di bawah mana-mana penandatangan Kod Anti-Doping Dunia sepanjang tempoh penggantungan tersebut.
Konsistensi ADAMAS dalam melindungi integriti sukan turut terbukti melalui tindakan tegas terhadap kes-kes terdahulu, termasuk penyalahgunaan anabolic androgenic steroid yang dikesan melibatkan atlet angkat berat pada tahun 2022, serta kes atlet olahraga pada tahun 2023 yang digantung selama dua tahun selepas didapati positif bahan terlarang sibutramine.
Di bawah Prinsip Kebertanggungjawaban Mutlak (Principle of Strict Liability), setiap atlet perlu sentiasa berwaspada dan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas sebarang bahan yang ditemui dalam tubuh badan mereka, tanpa mengira niat. Dengan kefahaman yang jelas serta tahap integriti diri yang tinggi dalam kalangan atlet dan kakitangan sokongan atlet, kita yakin bahawa setiap kejayaan negara di pentas antarabangsa akan dicapai secara bersih, adil, dan membanggakan.
Untuk maklumat lanjut mengenai program di bawah Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS), sila hubungi talian 03-8871 3613 atau e-mel ke nageswary@kbs.gov.my.





