Friday, July 24, 2026
HomeSUKANArif Aiman Catat Sejarah, Empat Kali Berturut-Turut Dinobatkan MVP Liga Malaysia

Arif Aiman Catat Sejarah, Empat Kali Berturut-Turut Dinobatkan MVP Liga Malaysia

Bintang muda sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi terus mencipta fenomena dalam arena bola sepak tempatan apabila dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia buat kali keempat berturut-turut pada Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2024/25.

Pemain berusia 23 tahun itu membuktikan kelas tersendiri sepanjang musim apabila menjaringkan 12 gol dan mencipta 13 bantuan jaringan, sekali gus memainkan peranan penting dalam kejayaan JDT merangkul kejuaraan Liga Super dan Piala FA musim ini. Arif kini bersiap sedia untuk membantu pasukannya menghadapi final Piala Malaysia menentang Sri Pahang FC yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Kemenangan kali ini menjadikan Arif sebagai satu-satunya pemain dalam sejarah bola sepak negara yang memenangi anugerah MVP sebanyak empat kali berturut-turut. Pencapaian ini sekali gus mengatasi rekod sebelum ini yang dipegang oleh legenda kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha, yang memenangi anugerah tersebut selama tiga musim berturut-turut dari 2010 hingga 2012.

Selain merangkul gelaran utama, Arif Aiman turut menggondol tiga lagi anugerah individu iaitu Pemain Tengah Terbaik, Gol Terbaik Liga Malaysia musim ini, serta disenaraikan dalam barisan Fans XI bagi posisi penyerang. Ini merupakan kali pertama Arif menerima anugerah Pemain Tengah Terbaik selepas selama tiga tahun berturut-turut (2021–2023) beliau dinobatkan sebagai Penyerang Terbaik.

Dominasi JDT dalam ABK 2024/25 tidak terhenti di situ. Penyerang berbisa mereka, Bergson da Silva, sekali lagi membuktikan ketajamannya apabila muncul sebagai penjaring terbanyak Liga Super dengan 32 gol, sekaligus mengekalkan trofi Kasut Emas. Selain itu, beliau turut meraih anugerah Pemain Import Terbaik buat kali ketiga.

Sementara itu, kategori Jurulatih Terbaik menyaksikan kejutan apabila ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak, dipilih mengatasi dua nama besar iaitu Hector Bidoglio (JDT) dan Kinoshi Katsuhito (Selangor FC). Ini merupakan kali pertama jurulatih dari pasukan luar kelompok ‘gergasi’ bola sepak negara meraih anugerah tersebut.

Secara keseluruhan, JDT menguasai lapan daripada keseluruhan kategori utama yang dipertandingkan, mengukuhkan lagi status mereka sebagai kuasa besar bola sepak tanah air.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Itu Adalah Yang Pertama Dan Terakhir Saya Bawakan Bila Kau Tiada’

0
KUALA LUMPUR: Penyanyi, Syamel, 32, mengakui tidak mudah untuk dia membawakan lagu Bila Kau Tiada yang dihasilkan olehnya sekitar empat tahun lalu. Menurut Syamel atau...

CATEGORIES