LIPIS – Ramai golongan muda meninggal dunia secara mengejut meskipun memiliki rekod kesihatan baik, penyanyi Haqiem Rusli mengakui bimbang apabila memikirkan kemungkinan sama boleh berlaku kepada dirinya.
Ujar Haqiem atau nama sebenarnya Ridzuan Haqiem Rusli, 28, peningkatan usia membuatkannya semakin sedar tentang kepentingan menjaga kesihatan, apatah lagi kerjayanya sebagai penyanyi menuntut stamina fizikal serta mental pada tahap optimum.
“Sangat risau sebab mungkin ketika masih remaja dulu saya tidak terlalu fikir tentang perkara sebegini. Apabila usia meningkat saya semakin peka dengan masalah kesihatan. Risau sekarang golongan muda ramai mati mengejut.
“Dulu, contohnya masalah resdung saya biarkan begitu sahaja. Bila usia semakin meningkat, kita kena ambil kira perkara sebegini. Sekarang pun badan sudah mula rasa sakit-sakit sedikit,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambah pelantun lagu Mimpi itu, meskipun kesibukan memenuhi tuntutan kerjaya, dia sangat menitikberatkan waktu rehat, terutama tidur mencukupi sebagai sebahagian daripada rutin penjagaan kesihatan.
“Walaupun menyanyi bukan kerja berat, dari segi mental, fizikal dan persekitaran semuanya perlu dijaga. Banyak faktor berkaitan kesihatan saya ambil kira dan sibuk macam mana pun, saya memang pastikan tidur cukup lapan jam.
“Jadual saya memang padat malah baru selesai penggambaran program memasak secara berturut-turut.
“Walaupun dapat tidur empat atau lima jam, saya tetap akan pastikan waktu itu digunakan untuk berehat. Saya masih bersukan, bermain bola dan menggunakan treadmill,” ujarnya pada majlis apresiasi Pahang 1st kepada petugas kesihatan di bawah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, di sini, semalam.
Ditanya mengenai pemeriksaan kesihatan secara berkala, Haqiem mengakui dirinya tidak begitu konsisten menjalani pemeriksaan sebelum ini namun bersyukur isteri sentiasa di sisi mengingatkan soal kesihatan.
“Jarang sebenarnya. Tetapi sejak berkahwin, isteri banyak mengingatkan saya supaya buat pemeriksaan darah dan pemeriksaan kesihatan.
“Kadang-kadang kita sendiri malas, tetapi disebabkan isteri suruh periksa, saya ikut. Alhamdulillah, semuanya okey,” jelasnya.
Terdahulu, laporan media memetik data rujukan Institut Jantung Negara (IJN) mengenai peningkatan kes serangan jantung akut dalam kalangan individu berusia muda.
Trend tersebut menunjukkan masalah berkaitan jantung bukan lagi isu kesihatan eksklusif golongan berusia, malah kes turut dilaporkan membabitkan pesakit seawal usia 19 tahun hingga lingkungan 30-an.
Dalam perkembangan lain, Haqiem menghiburkan petugas kesihatan negeri Pahang menerusi Majlis Apresiasi Pahang 1st Kepada Petugas Kesihatan di bawah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang Tahun 2026 di Kuala Lipis.
Majlis tersebut menjadi tanda penghargaan Kerajaan Negeri Pahang terhadap jasa, dedikasi serta komitmen petugas kesihatan dalam memastikan rakyat menerima perkhidmatan terbaik, termasuk mereka bertugas di kawasan pedalaman dan lokasi mencabar.
Pada majlis sama, Kerajaan Negeri Pahang menyampaikan baucar berjumlah RM1.187 juta sebagai tanda penghargaan kepada 11,870 petugas kesihatan di bawah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang.
Sumber – KOSMO! ONLINE





