KUCHING – Peningkatan kos sara hidup menyebabkan golongan muda kini lebih berhati-hati dalam membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga dan memiliki zuriat.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata golongan muda kini lebih banyak membuat perancangan terutama dari aspek ekonomi dan kemampuan mengurus keluarga sebelum melangkah ke alam perkahwinan.
Beliau berkata, kerajaan memahami kebimbangan itu dan menyediakan pelbagai program termasuk SmartStart yang memberi pendedahan kepada pasangan mengenai kehidupan berkeluarga, pengurusan ekonomi serta kewangan.
“Kalau mereka tidak bersedia dari segi ekonomi, kita tidak boleh menyalahkan mereka jika memilih untuk menangguhkan perkahwinan atau mempunyai anak.
“Sebab itu kerajaan membantu mereka membuat perancangan menerusi program yang disediakan, daripada persediaan sebelum berkahwin sehingga menjadi ibu bapa,” katanya ketika ditemui pada Sambutan Hari Penduduk 2026 Peringkat Negeri Sarawak di i-CATS University, di sini, hari ini.
Nancy berkata, kerajaan turut menyediakan bantuan kepada pasangan yang berdepan masalah kesuburan termasuk menerusi program persenyawaan in-vitro (IVF) dan suntikan sperma ke dalam rahim (IUI).
Katanya, usaha kerajaan bukan sahaja tertumpu kepada menggalakkan pembentukan keluarga, malah memastikan pasangan yang sudah berkahwin mampu mengekalkan keharmonian rumah tangga.
“Kerajaan tidak mahu mereka berkahwin dan kemudian bercerai. Sebab itu kita ada program seperti KASIH serta pelbagai aktiviti untuk mengeratkan kembali hubungan pasangan.
“Ia termasuk program ‘bulan madu kali kedua’ bagi pasangan yang sudah beberapa tahun berkahwin, bukan untuk berkahwin kali kedua, tetapi sebagai usaha memperkukuh semula hubungan suami isteri,” katanya.
Sementara itu, Nancy berkata, kementeriannya turut memperkukuh persediaan menghadapi fenomena penuaan penduduk dengan menggalakkan generasi muda memainkan peranan dalam penjagaan ibu bapa dan ahli keluarga yang memerlukan.
Katanya, pelbagai program termasuk CARE, SPEKTRUM, Komuniti Penjagaan di Rumah, Respite Care dan Khidmat Bantuan Di Rumah (KBDR) disediakan bagi membantu mengurangkan beban penjaga.
“Penjagaan bukan hanya membabitkan orang tua, tetapi juga ahli keluarga lain yang memerlukan penjagaan. Kita mahu keluarga tidak berasa terlalu tertekan apabila menjalankan tanggungjawab ini,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, kementerian turut mengambil pendekatan turun padang menerusi program Jerayawara dan Kembara KASIH bagi memastikan masyarakat di kawasan pedalaman dan sukar diakses turut menerima perkhidmatan kebajikan.
Katanya, setakat 31 Ogos lalu Sarawak mempunyai 1,417 sukarelawan terdiri 480 lelaki dan 937 wanita, manakala jumlah sukarelawan di seluruh negara ialah 7,397 orang.
“Sukarelawan ini penting kerana mereka lebih mengetahui keadaan masyarakat setempat dan boleh membantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengenal pasti individu yang layak menerima bantuan tetapi tidak pernah mendapatkannya,” katanya.
Nancy berkata, jumlah sukarelawan akan terus ditambah mengikut keperluan dan saiz sesebuah kampung, malah kementerian menyasarkan jaringan sukarelawan yang lebih meluas supaya bantuan dapat disampaikan terus kepada masyarakat.
“Kita bukan mahu masyarakat mencari kita, tetapi kita yang pergi kepada masyarakat. Jika ada kawasan yang belum dicapai, kita akan cari jalan untuk sampai kepada mereka,” katanya.
Sumber – Berita Harian





