SEPANG – Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum melanggar tiang papan tanda di Bandar Serenia menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Kota Warisan di sini pada Khamis.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.33 pagi.

“Tujuh anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA dikejarkan ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ahmad Mukhlis berkata, sebaik tiba di lokasi, polis mendapati sebuah kereta jenis Perodua Myvi dipercayai terbabas sebelum merempuh tiang papan tanda.
“Mangsa berusia 25 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Sumber – Sinar Harian





