Friday, August 14, 2026
HomeHIBURANArtis Perlu Latih Diri Luaskan Pengetahuan Am, Undang-Undang Dikenakan Sama Rata

Artis Perlu Latih Diri Luaskan Pengetahuan Am, Undang-Undang Dikenakan Sama Rata

PETALING JAYA: Pengarah dan penerbit terkenal, Aziz M Osman mengingatkan penggiat seni supaya tidak mengambil mudah soal percukaian, sebaliknya melengkapkan diri dengan pengetahuan am termasuk memahami tanggungjawab sebagai pembayar cukai.

Menurut Aziz, undang-undang negara tidak mengenal status seseorang sama ada selebriti mahupun orang biasa, justeru setiap individu bertanggungjawab untuk mengambil tahu perkara yang melibatkan ekonomi dan peraturan negara.

“Untuk menjadi rakyat yang baik dan bertanggungjawab, kita perlu melatih diri supaya meluaskan pengetahuan am. Jangan asyik buka Internet hanya untuk membaca gosip atau perkara tertentu sahaja.

“Kita perlu mendalami dan mengambil tahu apa yang berlaku di sekeliling kita. Apabila sesuatu berlaku, kita tidak boleh pula meminta keistimewaan kerana undang-undang dikenakan sama rata kepada rakyat,” katanya.

Aziz berkata, perkara itu dikongsikan melalui pengalamannya sendiri yang pernah berdepan situasi berkaitan percukaian, selain menyedarkannya mengenai kepentingan memahami setiap urusan yang dilakukan.

“Saya sendiri pernah melalui situasi ketika menjual rumah. Peguam yang menguruskan urusan pembeli rumah itu tidak mencatatkan satu klausa berkaitan pengecualian cukai.

“Selepas beberapa tahun, tiba-tiba saya menerima surat daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) meminta saya membayar cukai kerana penjualan rumah tersebut. Ketika itu, saya sendiri tidak tahu mengenai perkara tersebut.

“Selepas disiasat, barulah saya tahu pihak peguam tidak menjalankan tanggungjawab mereka dengan sebaiknya. Tetapi saya tidak mahu menyalahkan pihak lain semata-mata. Saya juga salahkan diri sendiri kerana tidak peka mengenai perkara sebegini,” jelasnya.

Ditanya sama ada dirinya bersetuju jika potongan cukai dibuat secara bersistematik buat penggiat seni, pengarah filem XX Ray itu berpandangan individu yang berdepan masalah percukaian boleh memohon pertimbangan daripada pihak berkaitan.

“Sebab itu pengetahuan am sangat penting. Tidak kiralah kita orang biasa atau bekerja dalam industri seni, kita tidak terkecuali. Kalau mahu mempertahankan keadaan kita atau meminta pertimbangan daripada pihak LHDN, kita boleh berbuat demikian,” tegasnya.

Dalam pada itu, Aziz turut menitipkan nasihat kepada penggiat seni terutama generasi baharu agar lebih peka terhadap pengetahuan am dan isu semasa supaya menjadi individu yang berilmiah.

“Nasihat saya bukan sahaja khusus mengenai soal cukai, tetapi juga perkara-perkara lain. Apabila kita membuka telefon, biasakan diri membaca dan menambah pengetahuan am serta mengambil tahu apa yang berlaku di sekeliling.

“Kita perlu tahu apa yang berlaku di sekeliling kerana secara tidak langsung, kita dapat mendalami ilmu dan mengetahui perkara-perkara yang sepatutnya kita tahu,” ujarnya.

Sumber – Utusan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Syukuri Nikmat Kecil, Hidup Bukan Tentang Miliki Segalanya’ – Anzalna Nasir

0
PETALING JAYA – Tidak perlu terlalu memikirkan perkara di luar kawalan, pelakon Anzalna Nasir menasihati orang ramai agar menghargai setiap nikmat kecil dalam kehidupan...

CATEGORIES