Wednesday, June 24, 2026
HomePERNIAGAANPermintaan Global Terhadap Minyak Akan Memuncak Pada Dekad 2030-an - Shell

Permintaan Global Terhadap Minyak Akan Memuncak Pada Dekad 2030-an – Shell

KUALA LUMPUR: Permintaan global terhadap minyak dijangka mencapai kemuncaknya pada dekad 2030-an sebelum mengalami penyusutan secara perlahan.

Ketua Penasihat Tenaga Shell, Peter Wood, berkata kadar penurunan permintaan itu bagaimanapun tidak akan berlaku secara drastik atau linear, sebaliknya akan berlaku dalam corak yang tidak menentu bergantung kepada faktor ekonomi, cuaca, konflik geopolitik dan pasaran automotif global.

“Permintaan bukanlah sesuatu yang bergerak secara lancar seperti lengkung graf. Ia dipengaruhi pelbagai peristiwa. Contohnya arang batu, kita menyangkakan yang ia telah mencapai kemuncaknya pada 10 tahun lalu, tetapi ia masih naik dan turun setiap tahun,” katanya pada sesi perkongsian di Energy Asia 2025, hari ini.

Wood berkata, beliau menjangkakan pertumbuhan permintaan minyak akan terhenti dalam dekad 2030-an, namun menegaskan bahawa adalah sukar untuk membayangkan senario di mana permintaan akan jatuh dengan cepat dalam masa terdekat.

“Sistem tenaga memang sedang berubah, tetapi kadar perubahan ini tidak sepantas yang orang jangkakan dalam jangka masa pendek,” katanya.

Menurut Wood, faktor-faktor seperti penerimagunaan kenderaan elektrik (EV) yang tidak seimbang di antara China, Eropah dan Amerika Syarikat (AS) menyumbang kepada perubahan permintaan yang tidak sekata.

“China bergerak sangat cepat dalam penggunaan EV, lebih laju daripada jangkaan kami. Namun di Eropah, kadar penggunaan bercampur-campur, manakala di AS, hampir tiada kemajuan,” katanya.

Mengenai sumber alternatif, beliau menyatakan bahawa tenaga solar berkembang baik di seluruh dunia, namun tenaga angin kini berhadapan ‘kemelesetan’ disebabkan kos yang tinggi manakala bahan api bio atau ‘biofuel’ pula dilihat penting tetapi masih kecil dari segi skala.

“Biofuel hanya menyumbang tiga juta tong sehari berbanding penggunaan minyak global 100 juta tong sehari. Jurang itu masih besar,” katanya.

Menyentuh mengenai peranan penting teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon (CCUS) dalam mencapai matlamat sifar bersih, beliau berkata kosnya yang tinggi menjadikannya sukar diterima oleh negara-negara membangun.

“Kosnya antara AS$100 hingga AS$200 satu tan. Banyak negara tidak mampu membiayainya. Namun di Eropah dan AS, ada insentif seperti perdagangan karbon dan kredit cukai untuk mempercepatkan pelaksanaan.

“CCUS berkesan untuk sektor pelepasan tetap seperti industri berat, tetapi tidak sesuai untuk penggunaan individu seperti kenderaan,” katanya.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Ronaldo Belum Berkarat Bantu Portugal Belasah Uzbekistan 5-0

0
HOUSTON – Cristiano Ronaldo menutup mulut pengkritiknya apabila berjaya meledak dua gol selepas membantu Portugal berpesta gol membelasah Uzbekistan 5-0 dalam aksi kedua Kumpulan...

CATEGORIES