Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) komited menggerakkan agenda memperkasa penggunaan dan pembelian produk tempatan melalui kolaborasi strategik bersama Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pelaksanaan gerakan Jom Beli Produk Malaysia (JOM MALAYSIA) yang merupakan strategi transformasi Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) dan Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia yang telah bermula pada tahun 1984. Objektif utama JOM MALAYSIA adalah untuk menggalakkan rakyat mengutamakan produk tempatan, mengurangkan kebergantungan import serta memperkukuh daya saing industri dan usahawan tempatan termasuk di pasaran antarabangsa.
Bertempat di Esplanade KLCC, KLFW 2026 menghimpunkan penyertaan lebih 50 pereka fesyen dan jenama tempatan dengan 800 rekaan kreatif yang digayakan sepanjang 7 hari penganjuran bermula 3 hingga 9 Ogos 2026. Penganjuran turut diperkaya dengan pelbagai pengisian termasuk pameran jenama, sesi padanan perniagaan, perkongsian industri dan aktiviti libat urus yang menghimpunkan pemain industri fesyen tempatan serta antarabangsa.

Sebagai platform fesyen paling berprestij di negara ini, KLFW menyediakan ruang kepada pereka tempatan mengetengahkan kreativiti dan inovasi masing-masing, di samping memperkukuh penjenamaan produk Malaysia.Menerusi kerjasama strategik ini yang melibatkan 28 segmen, salah satu segmen yang ditampilkan khusus buat kali pertama adalah Fashion Forward Batik Malaysia. Segmen ini menampilkan 10 pereka fesyen tempatan dengan 30 rekaan batik kontemporari menggunakan tekstil batik asli dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Potensi ini disokong oleh perkembangan signifikan industri budaya dan kreatif negara. Melalui Laporan Akaun Satelit Budaya dan Kreatif 2024 yang diterbitkan kali pertama oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Disember 2025, industri budaya dan kreatif telah menyumbang sebanyak RM130.7 bilion bersamaan 6.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK). Pencapaian ini menunjukkan bahawa kreativiti dan khazanah budaya bukan sahaja mempunyai nilai identiti, malah telah berkembang menjadi antara pemacu pertumbuhan ekonomi negara.


Sehubungan itu, platform KLFW menjadi amat signifikan dalam memperkukuh penjenamaan dan meningkatkan daya saing produk tempatan. Berdasarkan pencapaian KLFW 2025 yang merekodkan nilai publisiti (media value) mencecah USD32 juta, kerjasama strategik ini dijangka mampu memperluaskan capaian pasaran batik Malaysia di peringkat domestik dan global.
Usaha ini adalah sejajar dengan agenda Kerajaan sebagaimana objektif penubuhan Jawatankuasa Kabinet Bagi Memperkasa Penggunaan dan Pembelian Produk Tempatan yang telah diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 15 Julai 2026. Jawatankuasa ini berfungsi untuk memperkemas hala tuju serta memperkukuh penyelarasan antara kementerian dan agensi Kerajaan dalam memperkasa promosi, meningkatkan nilai jualan domestik dan eksport produk tempatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada import.





