Tuesday, August 11, 2026
HomeHIBURANKES2026: “Saya Tak Layak Untuk Menghakimi…” - Jihan Muse

KES2026: “Saya Tak Layak Untuk Menghakimi…” – Jihan Muse

Pengacara, Jihan Muse mengakui terkejut dan gementar ketika ditawarkan untuk menggalas tanggungjawab sebagai juri tetap Kilauan Emas Selebriti 2026 (KES2026).

Menurut Jihan, kebimbangan itu timbul apabila memikirkan kemampuannya untuk menilai persembahan nyanyian, memandangkan tugas tersebut berbeza daripada peranan yang pernah digalasnya sebelum ini sebagai pengacara.

“Alhamdulillah, saya ditawarkan untuk menjadi juri tapi mula-mula saya terkejut juga.

“Sebelum ini saya pernah menjadi juri untuk The Chosen One tetapi peserta program itu kanak-kanak, Untuk peserta sekarang lebih kurang peserta Gegar Vaganza bagi saya.

“Bezanya, sebelum ini saya menjadi pengacara. Kita hanya bergurau dan berinteraksi, tetapi kita tidak mempunyai hak untuk menghakimi nyanyian atau persembahan mereka. Jadi apabila kali ini saya diberi peranan untuk menilai persembahan, saya sedikit takut juga. Saya terfikir, bolehkah saya buat?,” katanya kepada Gempak.

Namun, selepas mendapat penjelasan mengenai skop tugasnya, Jihan mula melihat tanggungjawab tersebut dari perspektif berbeza.

Jihan percaya pengalaman lebih 10 tahun mengendalikan pelbagai program secara langsung sedikit sebanyak membantunya memahami perkara yang mampu membuatkan sesebuah persembahan menjadi menarik, menghiburkan atau sebaliknya.

“Bila mereka kata peranan saya bukan untuk menilai vokal, saya rasa lega. Saya memang tidak layak untuk menghakimi vokal. Saya lebih kepada menggunakan mata saya sebagai penonton di rumah, seperti penonton di bawah, netizen dan pengalaman saya selama ini sebagai pengacara rancangan langsung.

“Saya ada banyak perspektif yang boleh dikongsikan. Dari belakang pentas, tepi pentas, bawah pentas sehinggalah daripada apa yang dilihat melalui televisyen. Saya sudah lebih 10 tahun berada di pentas rancangan langsung. Jadi banyak benda itu sudah ada dalam diri kita.

“Kita sudah boleh tahu sesuatu persembahan itu menjadi atau tidak, menarik atau tidak, meremang atau tidak, kelakar atau tidak dan menyeronokkan atau tidak. Jadi saya harap dapat berkongsi tip berdasarkan rancangan-rancangan yang pernah saya kendalikan sebelum ini, selain memberikan semangat kepada peserta,” ujarnya.

Jihan turut menegaskan bahawa fokus KES2026 bukan untuk menentukan siapa yang paling hebat dari segi nyanyian, sebaliknya program tersebut lebih menjurus kepada hiburan serta usaha mengumpul manfaat kepada masyarakat.

Malah, Jihan tidak mahu memberikan komen yang terlalu teknikal mengenai vokal peserta kerana merasakan ia tidak sesuai dengan peranannya.

Sebaliknya, dia mahu memberikan pandangan berdasarkan pengalaman sebagai pengacara dan perspektif penonton.

Sumber – Gempak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Tidak Boleh Bersalin Secara Normal, Kedudukan Bayi Tidak Mengizinkan Untuk VBAC’

0
PETALING JAYA: Pelakon, Datin Intan Najuwa, mendedahkan hasratnya untuk melahirkan anak secara normal tidak kesampaian disebabkan kedudukan bayinya yang tidak mengizinkan. Intan atau Intan Najuwa...

CATEGORIES