Tuesday, January 13, 2026
HomeLUAR NEGARAKorban Kebakaran Menara Hong Kong Meningkat Kepada 44 Orang, 3 Ditahan Polis

Korban Kebakaran Menara Hong Kong Meningkat Kepada 44 Orang, 3 Ditahan Polis

HONG KONG: Kebakaran besar yang masih marak di sebuah kompleks pangsapuri di Hong Kong, mengorbankan sekurang-kurangnya 44 orang dan hampir 300 lagi masih hilang.

Api dipercayai merebak pantas akibat penggunaan perancah buluh yang tidak selamat serta bahan pelapik yang digunakan dalam kerja penyelenggaraan, menurut polis.

Anggota bomba yang bertugas sepanjang malam bergelut untuk mencapai tingkat atas kompleks perumahan Wang Fuk Court berikutan bahang melampau dan asap tebal dari kebakaran yang tercetus petang semalam.

Kompleks di daerah Tai Po, utara Hong Kong itu mempunyai 2,000 unit pangsapuri merangkumi lapan blok.

Menjelang awal pagi ini, pihak berkuasa memaklumkan kebakaran di empat blok berjaya dikawal, manakala operasi memadamkan api masih diteruskan di tiga blok lain selepas lebih 15 jam.

Rakaman video dari lokasi kejadian menunjukkan api masih marak dari sekurang-kurangnya dua menara setinggi 32 tingkat, dengan asap tebal berkepul keluar dari beberapa bahagian bangunan.

Jaring keselamatan hijau dan perancah buluh yang digunakan pada bangunan berkenaan adalah sebahagian daripada amalan pembinaan tradisional China, namun penggunaannya sedang dihentikan di Hong Kong sejak Mac lalu atas faktor keselamatan.

 

Anggota bomba berusaha memadamkan api ketika kebakaran marak pada perancah buluh yang meliputi beberapa bangunan di estet perumahan Wang Fuk Court, di Tai Po, Hong Kong, China. - Foto REUTERS
Anggota bomba berusaha memadamkan api ketika kebakaran marak pada perancah buluh yang meliputi beberapa bangunan di estet perumahan Wang Fuk Court, di Tai Po, Hong Kong, China. – Foto REUTERS

 

Polis berkata, selain bangunan diselubungi jaring perlindungan dan plastik yang mungkin tidak memenuhi piawaian keselamatan kebakaran, beberapa tingkap pada sebuah bangunan yang tidak terjejas didapati ditutup dengan bahan pelapik yang dipasang syarikat pembinaan bagi menjalankan kerja penyelenggaraan.

“Kami mempunyai alasan untuk mempercayai bahawa pihak bertanggungjawab dalam syarikat itu cuai secara serius, sehingga membawa kepada kemalangan ini.

“Mereka menyebabkan kebakaran merebak tanpa kawalan hingga mengakibatkan korban besar,” kata Superintendan Polis Hong Kong, Eileen Chung.

Tiga lelaki dari syarikat berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan membunuh tanpa niat.

 

 

Seorang anggota bomba turut termasuk antara 44 mangsa yang terkorban, manakala 45 lagi dalam keadaan kritikal di hospital, menurut polis Hong Kong pada sidang media sebelum subuh.

Ketua Eksekutif Hong Kong, John Lee, memberitahu pemberita bahawa keutamaan adalah memadamkan api dan menyelamatkan penduduk yang terperangkap.

Penduduk yang berselimut menyaksikan api marak membakar perancah buluh di estet perumahan Wang Fuk Court selepas kebakaran besar tercetus, di Tai Po, Hong Kong. - Foto REUTERS

Penduduk yang berselimut menyaksikan api marak membakar perancah buluh di estet perumahan Wang Fuk Court selepas kebakaran besar tercetus, di Tai Po, Hong Kong. – Foto REUTERS

“Kedua, memberi sokongan kepada mangsa cedera. Ketiga, memberi bantuan dan pemulihan. Selepas itu, kami akan melancarkan siasatan menyeluruh.

“Sebanyak 279 individu dilaporkan tidak dapat dihubungi, manakala 900 lagi berlindung di lapan pusat perlindungan,” katanya.

Kementerian Luar Filipina dalam satu kenyataan memaklumkan, konsulatnya di Hong Kong menerima maklumat tidak sahih bahawa beberapa pekerja domestik warga Filipina mungkin terperangkap di dalam bangunan.

Ia berkata pihaknya sedang berhubung dengan polis untuk membantu mana-mana rakyat negara itu yang terjejas.

Semalam, struktur perancah dilihat jatuh berguguran ketika anggota bomba berusaha memadam api, manakala puluhan jentera bomba dan ambulans memenuhi jalan di sekitar kawasan pembangunan itu.

Di tanah besar China, Presiden Xi Jinping menggesa ‘usaha habis-habisan’ untuk memadam kebakaran dan mengurangkan angka korban serta kerugian, menurut stesen penyiar negara, CCTV.

Sumber – REUTERS

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Keluarkan Barang Bukan Membabi Buta, Itu Nasihat Daripada Peguam’

0
SHAH ALAM – Penyanyi sensasi Nubhan mengakui memiliki alasan yang kukuh mengapa dirinya bertindak mengeluarkan barang-barang milik bekas isterinya, Dr Afifah dari kediamannya baru-baru...

CATEGORIES