PETALING JAYA – Pelakon Betty Banafe tidak pernah mendidik anak-anaknya untuk membenci atau bercakap buruk tentang bapa mereka khususnya dalam media sosial.
Menurut Betty atau Betty Ibtisam Abu Bakar Banafee, 47, dia sentiasa menekankan bahawa pertalian yang terjalin antara anak dan keluarga bekas suami tidak akan terputus sampai ke akhir hayat.
“Saya tak pernah sesekali ajar anak-anak saya menipu dan benci bekas suami.
“Saya ajar mereka untuk hormat bapa dan keluarga bekas mentua. Pesanan saya, ‘jangan sesekali kurang ajar dengan atuk dan nenek sebab walau apa pun yang berlaku, mereka tetap darah daging awak’.
“Namun, bekas suami seharusnya bersyukur anak-anak bahagia dan berada dalam persekitaran yang baik.
“Sepatutnya kebahagiaan anak adalah kebahagiaan dia, bukannya kebahagiaan awak adalah kebahagiaan anak,” katanya.
Mengulas mengenai dakwaan dia tidak membenarkan anak-anak untuk menziarah datuk dan nenek mereka di Amerika Syarikat (AS), Betty menafikan perkara tersebut.
Ujarnya, keputusan anak-anak untuk tidak melawat bapa mereka adalah atas kehendak sendiri.
“Itu pilihan mereka sendiri, saya tak pernah menghasut. Kalau perkara itu mendatang stres, saya tak boleh paksa mereka.
“Saya juga sebelum ini saya paksa anak-anak untuk pergi jumpa bapa mereka mengikut penggiliran yang mahkamah sudah tetapkan.
“Sebagai orang dewasa, fikirkanlah sebabnya kenapa anak kamu tak mahu jumpa, renung-renungkanlah,” katanya lagi.
Berkongsi lanjut, Betty tindakan anak-anaknya yang tampil bersuara dalam media sosial baru-baru ini disebabkan pelbagai faktor termasuk masih tidak didengari oleh bapa mereka.
“Mereka juga ada perasaan dan hati untuk didengari serta memiliki hak untuk gembira dan tenang dan persekitaran yang positif.
“Harap semua yang berlaku ini juga menjadi pengajaran kepada keluarga lain yang bercerai-berai. Bertenang dan berdamailah dengan takdir.
“Jangan jadikan anak-anak sebagai mangsa bagi keegoan engkau sebagai bapa,” jelasnya.
Untuk rekod, Betty mendirikan rumah tangga dengan Bruce Dargus pada 8 Disember 2012 sebelum bercerai pada 10 Julai 2019.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Julia Claire Dargus, 13, dan Bruce Dean Dargus, 10.
Sumber – KOSMO! ONLINE





