KUALA LUMPUR – “Kalau tak boleh beri komitmen dan jaga disiplin, jangan jadi artis.”
Demikian amaran pengarah dan aktres, Ellie Suriaty kepada pelakon baharu agar menjaga disiplin termasuk tidak datang lewat ke set penggambaran.
Menurut Ellie, 56, tindakan mengambil lewa isu kedatangan dan sukar memberi komitmen terhadap jadual kerja adalah sikap tidak bertanggungjawab yang tak sepatutnya wujud terutama sebagai anak seni.
“Pada saya, isu artis datang lambat ke set penggambaran adalah situasi yang tidak menyenangkan sebab kita bekerja dengan masa, kejar episod dan jadual.
“Kalau awak datang lambat, semua proses itu akan jadi lambat. Semua orang ada komitmen.
“Pertama, kena ada disiplin, datang tepat pada masanya dan mudahkan kerja semua pihak. Kalau datang lambat, maknanya awak bukan ‘team player’” katanya kepada Kosmo! Online selepas sidang media Astro 30, semalam.
Tambahnya, disiplin dan kesedaran tidak mahu menyukarkan kerja pihak lain adalah perkara yang penting untuk memastikab kerjaya kekal lama.
Ujarnya disiplin adalah perkara utama yang perlu dijaga berbanding mengejar glamor atau populariti sebagai seorang selebriti.
“Industri seni untuk orang yang bekerja keras dan ada disiplin.
“Kalau dalam tempoh lima tahun pun tak boleh bertahan sebab tiada disiplin, produksi atau stesen televisyen tidak akan ambil mereka bekerja lagi.
“Bila tiada disiplin, maksudnya dia tak nak lama dalam industri dan tidak melihat bidang seni ini sebagai kerjaya,” katanya lagi.
Dia juga menegaskan, individu yang tidak boleh mengikut cara kerja sebuah produksi harus melupakan hasrat untuk meneruskan kerjaya sebagai anak seni.
“Sesiapa yang tak boleh mengikuti cara kerja berpasukan dalam industri kreatif, mereka tidak boleh jadi pelakon.
“Jadi pelakon bukan kerja syok sendiri seorang diri tetapi melibatkan banyak pihak. Kalau nak glamor, main sajalah TikTok, tak payah jadi pelakon,” jelasnya.
Dalam pada itu, dia mengakui sangat cerewet dalam memilih pelakon untuk bekerja bawah naskhah arahannya.
“Bila mengarah, saya sangat tegas dalam proses pemilihan pelakon dan hanya mengambil mereka yang mempunyai rekod disiplin baik, Alhamdulillah perkara itu dipersetujui oleh stesen televisyen.
“Apa pun, kalau rasa macam sukar untuk bekerja sebagai satu pasukan atau susah nak datang tepat pada waktunya, lebih baik berhenti, pilih bidang lain,” ujarnya.
Terdahulu, isu pelakon datang lewat ke set penggambaran kembali menjadi bualan hangat selepas pelakon Fasha Sandha dan penerbit, Datuk A. Aida meluahkan rasa tidak puas hati berhubung isu tersebut dalam media sosial.
Sumber – KOSMO! ONLINE





