Friday, October 9, 2026
HomeHIBURAN‘Tonton Pemuja Syaitan, Saya Kecewa Dengan Diri Sendiri’ - Elizabeth Tan

‘Tonton Pemuja Syaitan, Saya Kecewa Dengan Diri Sendiri’ – Elizabeth Tan

KUALA LUMPUR – PENYANYI dan pelakon Elizabeth Tan mengakui kecewa dengan mutu lakonannya dalam filem Pemuja Syaitan kerana berasakan persembahannya tidak mencapai standard yang ditetapkan untuk diri sendiri.

Menurutnya yang mesra disapa sebagai Lizzy, 33, lakonan dipersembahkan dalam filem arahan Liyana Jasmay itu dianggap serba kekurangan dan bukan hasil terbaik seperti filemnya yang lain.

“Saya tidak suka tengok lakonan sendiri kerana rasa seperti tidak memberikan yang terbaik.

“Selepas menonton keseluruhan filem, rasa persembahan saya tidak cukup dan ini bukanlah lakonan terbaik saya.

“Kalau diberi peluang, saya akan beri lebih lagi sebab karakter saya nampak seperti pendiam, sedangkan saya tidak mahu bertembung dengan suara dengan pelakon lain,” katanya kepada HibGlam pada majlis tayangan khas di sini, semalam.

Dia bagaimanapun menafikan masalah lain seperti isu peribadi menjadi punca kualiti lakonannya terjejas dalam filem tersebut.

“Orang yang menilai paling keras ialah diri sendiri, jadi apabila melihat hasil lakonan begini, saya perlu menjangkakan orang lain akan melakukan hal sama.

“Sebenarnya saya menjangkakan teknik suntingan babak filem ini akan berbeza namun itu pilihan mereka dan yang salah tetap saya kerana sepatutnya berlakon dengan lebih baik,” katanya lagi.

Dalam masa sama, dia menganggap pencahayaan yang terlalu gelap dalam filem ini antara faktor semua ekspresi dipaparkan kurang kelihatan.

“Bukanlah saya mahu mengutuk filem ini, tetapi pencahayaannya agak gelap sehingga air mata dan emosi saya tidak kelihatan di skrin.

“Saya tidak pernah berlakon filem dalam keadaan pencahayaan sebegini sebelum ini, mungkin jika diberikan peluang lagi pada masa hadapan, saya akan lebih peka dan mengubah corak lakonan.

“Ada saja lakonan saya dalam naskhah lain yang lebih teruk tetapi untuk karya ini, saya memang berharap dapat melakukannya dengan lebih baik,” ujarnya.

Lizzy juga mengakui rasa kecewa itu timbul kerana dia meletakkan harapan yang tinggi terhadap mutu lakonannya dalam filem berkenaan.

“Saya mahu berasa puas apabila menonton lakonan sendiri, tetapi bila saya tengok filem ini, saya kecewa dengan diri sendiri.

“Saya memang seorang yang jujur, saya tidak suka berselindung kerana sekiranya saya tidak suka lakonan saya, saya memang benar-benar tidak suka dan berasa kecewa dengan diri sendiri.

“Namun Pemuja Syaitan tetap sebuah filem yang bagus dan kalian semua masih patut menontonnya demi Liyana serta pelakon lain seperti Nadhir Nasar dan Aila Azizul,” ujarnya lagi.

Selain Lizzy, Pemuja Syaitan yang bakal ditayangkan pada 15 Oktober depan turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Zul Ariffin, Aila Azizul dan Nadhir Nasar.

Turut membintangi filem itu ialah Ellyza Azizi, Dhabita Auji, Aida Amron, Hakim Khan, Nat Aaliyah, Rosdeen Suboh, Dee Al Hadi, Yusuf Amin, Atoi Tohet, Selena Jasmay dan Marsha Biddulph.

Karya tersebut terbitan Mermaid Studios dan Suraya Filem Production & Distribution, dengan Skop Productions Sdn. Bhd. sebagai rakan pengedaran dan Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran.

Filem bergenre seram dan thriller itu mengisahkan sekumpulan pelajar sekolah yang kembali berkumpul di sebuah pulau sebelum berdepan pelbagai perkara misteri dan mengerikan.

Sumber – HIBGLAM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Teknologi Pengimbas Kargo Anak Tempatan Tembusi Pasaran Global

0
Usaha memperkukuh kawalan di pintu masuk negara terus dipertingkatkan menerusi penggunaan teknologi pengimbas kargo yang lebih cekap bagi memastikan pemeriksaan barangan import dan eksport...

CATEGORIES