JAKARTA – Pasukan penyelamat melancarkan pencarian di Selat Lombok, luar Pulau Bali hari ini bagi mencari lima mangsa hilang susulan kebakaran feri yang mengorbankan satu nyawa dan memaksa berpuluh-puluh penumpang terjun ke dalam laut, kata pihak berkuasa.
Seramai 211 orang berjaya diselamatkan dan dibawa ke darat oleh kapal-kapal yang bergegas ke lokasi kejadian semalam, termasuk sebuah kapal tentera laut dan sebuah feri lain yang berada di kawasan berhampiran.
Seorang wanita warga Indonesia berumur 19 tahun turut ditemukan meninggal dunia.
Menjelang hari ini, usaha beralih kepada ‘pencarian lima penumpang’ yang masih belum ditemukan, kata pejabat mencari dan menyelamat Mataram di Pulau Lombok dalam satu kenyataan.
Feri Putri Yasmin sedang dalam perjalanan dari Bali ke Lombok apabila berdepan masalah semalam.
“Selain pencarian secara langsung, kami juga telah mengarahkan kapal-kapal yang berada di Selat Lombok untuk memberikan bantuan awal jika menemukan mana-mana mangsa,” kata kenyataan sama.
Mangsa terselamat, Kiky Okta Pradika, 25, memberitahu pemberita di Lombok semalam bahawa dia sempat mencapai jaket keselamatan sebelum terjun ke laut bersama beberapa penumpang lain.
“Beberapa jam berlalu sebelum bantuan tiba,” katanya.
Kemalangan marin kerap berlaku di Indonesia yang mempunyai lebih 17,000 pulau dengan rakyatnya amat bergantung kepada pengangkutan feri dan bot untuk hubungan harian serta pelancongan.
Namun, piawaian keselamatan yang longgar dan cuaca tidak menentu menjadi punca utama kemalangan berlaku.
Minggu lalu, lima orang terkorban apabila sebuah feri terbakar di luar pantai Pulau Jawa.
Sumber – AFP





