Friday, October 2, 2026
HomeLUAR NEGARAEmas Takraw di Nagoya Tidak Muncul Tiba-Tiba, Semuanya Hasil Perjuangan Pasukan

Emas Takraw di Nagoya Tidak Muncul Tiba-Tiba, Semuanya Hasil Perjuangan Pasukan

NAGOYA – Bagi mereka yang sudah lama mengikuti sepak takraw negara, kemenangan Malaysia dalam acara berpasukan pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 pastinya membawa perasaan yang cukup berbeza.

Kegembiraan tetap sama seperti kemenangan besar lain, tetapi kali ini ada bersama nostalgia, seolah-olah satu cerita lama pernah terhenti akhirnya disambung semula selepas 36 tahun.

Sepak takraw pernah melalui zaman apabila pemainnya begitu dekat dengan masyarakat. Nama Allahyarham Adnan Saidin tidak perlu diperkenalkan dengan panjang lebar.

Libasan ‘pari’ beliau menjadi sebutan dan ditiru kanak-kanak di gelanggang kampung, walaupun kebanyakannya mungkin berakhir tersembam di atas tanah. Ketika itu, sepak takraw bukan sekadar sukan ditonton apabila berlangsung temasya besar.

Ia hidup di sekolah, kampung, kawasan perumahan dan balai raya. Pemain negara mempunyai tempat tersendiri di bibir dan dalam ingatan peminat.

Kemudian muncul generasi emas Beijing 1990. Malaysia ketika itu berada di puncak sepak takraw Asia. Nama seperti Rehan Mohamad Din, Nordin Sabaruddin, Abdul Malek Samsudin menjadi sebahagian daripada generasi memberikan negara satu pencapaian mengambil masa 36 tahun untuk diulangi.

Dalam kelompok itu ada seorang pemain bernama Ahmad Jais Baharun. Hari ini, nama itu kembali berada dalam sejarah sama. Bezanya, Ahmad Jais tidak lagi berada di gelanggang sebagai pemain, sebaliknya berdiri di tepi gelanggang sebagai ketua jurulatih kepada generasi mengembalikan emas regu berpasukan Sukan Asia kepada Malaysia.

Seorang pemain pernah merasai sendiri bagaimana Malaysia menjadi juara Asia akhirnya kembali lebih tiga dekad kemudian untuk membimbing pemain lain merasai pengalaman sama.

Namun, antara Beijing dan Nagoya terdapat satu cerita panjang yang tidak semuanya indah. Malaysia tidak pernah berhenti melahirkan pemain berbakat selepas 1990. Kita terus melahirkan tekong, perejam dan pengumpan berkualiti.

STL bawa perubahan penting

Kemunculan Liga Sepak Takraw (STL) sejak 2014 membawa satu perubahan penting. Sepak takraw mendapat pertandingan liga lebih tersusun, identiti pasukan, penyokong, liputan media dan jadual memaksa pemain beraksi secara konsisten.

STL bukan satu-satunya sebab Malaysia kembali berjaya kerana pencapaian antarabangsa turut bergantung kepada program kebangsaan, kejurulatihan, persatuan, sains sukan, kemudahan latihan, sokongan Majlis Sukan Negara dan paling utama, kerja keras pemain.

Namun, sukar dinafikan STL memberikan pemain lebih banyak minit pertandingan sebenar. Latihan membentuk teknik, tetapi pertandingan membentuk pemain.

STL meluaskan kelompok pemain yang boleh diperhatikan dan dinilai. Jersi negara tidak sepatutnya menjadi milik tetap sesiapa. Pemain senior perlu terus menunjukkan prestasi kerana pemain lain sentiasa menunggu peluang.

Mungkin di situlah antara perubahan paling penting berlaku. Daripada bergantung kepada beberapa nama besar, Malaysia mula membina persaingan dalam kalangan pemain sendiri.

Sebab itu emas Nagoya tidak wajar dilihat sebagai kejayaan yang muncul secara tiba-tiba. Tandanya sudah kelihatan lebih awal apabila Malaysia semakin berani mencabar Thailand dan kemenangan dalam kejohanan besar membina keyakinan serta ketahanan mental.

Hari ini, generasi Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Mohamad Azlan Alias, Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Aidil Aiman Azwawi dan rakan pula mencipta cerita mereka sendiri.

Tugas selepas ini bukan lagi mengenang berapa lama Malaysia menunggu untuk kembali bertakhta. Tugas sebenar ialah memastikan kita tidak perlu menunggu 36 tahun lagi.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Bukan Soal Pengalaman, Farah Ahmad Tak Mahu Label Pelakon ‘Kayu’

0
KUALA LUMPUR - Tidak selesa melabel mana-mana pelakon sebagai ‘kayu’, pelakon Farah Ahmad berpendapat kemampuan seseorang tidak wajar dinilai hanya berdasarkan pengalaman kerana setiap...

CATEGORIES