NAGOYA – Datuk Azizulhasni Awang mara ke separuh akhir acara pecut individu lelaki pada Sukan Asia Aichi-Nagoya.
Azizulhasni yang mencatat masa ketiga terpantas dalam pusingan kelayakan semalam, merekodkan kemenangan mudah 2-0 ke atas pelumba Jepun, Kanata Takahashi, pada suku akhir di Velodrom Izu, Shizuoka, hari ini.
Pencabar lain, Kaiya Ota dari Jepun dan Li Zhiwei turut menempah tempat dalam kelompok empat terbaik selepas masing-masing mencatat kemenangan mudah ke atas Kirill Kurdidi dari Kazakhstan dan Kang Shih-Feng dari Taiwan.
Pelumba China, Xie Han dan Jai Angsuthasawit dari Thailand pula terikat 1-1 dan perlu bersaing dalam perlumbaan penentuan sebelum senarai pelumba ke separuh akhir dapat dilengkapkan.
Aksi separuh akhir dan final akan berlangsung lewat hari ini.
Sementara itu, pusingan kelayakan pecut individu wanita menyaksikan Nur Alyssa Farid mencatat 10.708 saat untuk menduduki tempat keempat, manakala Izzah Izzati Asri di tempat keenam dengan 10.764 saat.
Pemegang rekod Asia, Yuan Liying dari China, mengungguli catatan masa dengan 10.155 saat, diikuti pelumba Jepun, Mina Sato (10.209 saat) dan Jiang Yulu dari China (10.352 saat).
Izzah akan berdepan pelumba Korea Selatan, Kim Haeun, manakala Alyssa menentang pelumba Taiwan, Chen Ching-yun, pada pusingan pertama lewat hari ini.
Malaysia sudah memenangi dua pingat dalam acara berbasikal trek wanita setakat ini menerusi acara pecut berpasukan wanita (perak) dan keirin (Izzah).
Sumber – Berita Harian





