PETALING JAYA – Penyanyi Datuk Ameng menganggap gelaran Datuk yang diterimanya sempena darjah kebesaran dan pingat Pahang sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-67 Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini sebagai pencapaian tertinggi dalam kerjaya seninya.
Menurut Ameng atau nama penuhnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 57, dia sendiri tidak menyangka bakal menerima gelaran berkenaan kerana hanya dimaklumkan tiga bulan sebelum istiadat bahawa namanya disenaraikan untuk menerima kurniaan daripada Istana Pahang.
“Ya Allah, saya tak sangkalah. Saya dapat tahu tiga bulan sebelum. Tidak dimaklumkan pun sama ada dapat gelaran Datuk sebaliknya protokol Istana hanya maklumkan nak bagi kurnia.
“Tapi dia kata kami pun tak tahu Tuanku nak bagi apa.
“Hari ini baru tahu! Pihak istana cuma minta saya hadir dengan memakai baju Melayu butang lima, kasut kulit dan pakai tengkolok.
“Anak-anak saya pun tak tahu ayah mereka nak dapat Datuk. Terkejut semua masing-masing, nasib baik mereka tidak pengsan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini.
Mengulas reaksi keluarganya, Ameng mengakui anak-anaknya terkejut apabila mengetahui dirinya menerima gelaran berkenaan kerana selama ini perkara tersebut tidak pernah dibayangkan sebelum ini.
“Reaksi mereka terkejut sebab tak percaya, sebab siapalah saya sebab pernah terpalit dengan sejarah hitam.
“Jadi, memang saya sekeluarga tak pernah terbayang pun, jauh sekali terfikir nak dapat gelaran. Rasa macam tak layak sebenarnya nak dapat gelaran itu,” katanya lagi.
Tambah Ameng, gelaran tersebut menjadi kemuncak perjalanan seninya selepas 36 tahun bergelumang dalam dunia muzik dan persembahan.
“Kalau ikutkan, ini kemuncak dalam kerjaya seni selama 36 tahun menyanyi. Kemuncaklah. Ini pencapaian tertinggilah.
“Kalau lepas ini tak dapat apa-apa pun, sudah puas hati dengan apa yang saya lakukan, lalui, semua saya dapat semula.
“Saya dah puas hati dan dah bersyukur sangat, alhamdulillah cukuplah,” ujarnya.
Berkongsi lanjut, dia memberitahu hubungan baiknya dengan Istana Pahang terjalin sejak awal tahun 1990-an.
“Memang saya banyak dapat jemputan menyanyi di Istana Pahang sejak tahun 1992.
“Jemputan di Pahang dan Kuala Lumpur. Setiap tahunlah,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, dia sempat mengenai status baharu dirinya yang boleh membuatkan anak-anaknya keliru ditambah pula bekas isteri iaitu A. Aida bergelar Datuk.
“Anak-anak dengan bekas isteri, Aida memang pening. Ayah Datuk, mak pun Datuk.
“Patut mak itu Datin. Pening budak-budak tapi mereka banggalah,” jelasnya.
Hari ini, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Noor Hisam Nordin mendahului senarai 58 penerima darjah kebesaran dan pingat Pahang sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-67 Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat menyempurnakan istiadat itu yang berlangsung di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz di sini hari ini.
Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah turut berangkat.
Selain itu, bekas pemain bola sepak negara See Kim Seng, pengulas sukan Abu Bakar Atan dan Ameng Spring turut dikurniakan DIMP.
Sumber – KOSMO! ONLINE





