KUALA LUMPUR – Ketiadaan laluan pejalan kaki dan pencahayaan yang mencukupi memaksa sebahagian pengguna pengangkutan awam berjalan dalam gelap serta berkongsi ruang dengan kenderaan untuk pulang dari stesen.
Perjalanan berbahaya yang terpaksa dilalui setiap hari itu mendedahkan kelompangan dalam penyediaan infrastruktur sokongan pengangkutan awam, khususnya bagi perjalanan awal dan akhir pengguna.
Keadaan berkenaan menyukarkan pergerakan, selain meningkatkan risiko kemalangan terutama apabila pengguna terpaksa berjalan di tepi jalan pada waktu malam.
Realiti itu dikongsikan seorang pengguna yang ditemu bual dalam penyelidikan Mobiliti Greater Kuala Lumpur oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI).
“Tiada laluan pejalan kaki, jadi saya benar-benar berjalan di tepi jalan. Memandangkan laluan itu agak gelap pada waktu malam, saya terpaksa menggunakan lampu suluh telefon bimbit, bukan sahaja untuk melihat arah perjalanan, tetapi juga memastikan pemandu dapat melihat saya dan tidak melanggar saya,” katanya.
Penyelidik KRI, Gregory Ho Wai Son, berkata pengalaman pengguna berkenaan menunjukkan mereka terpaksa mengambil langkah tambahan semata-mata untuk memastikan dapat dilihat pemandu dalam keadaan gelap.
Katanya, tiada sesiapa sepatutnya berdepan risiko sedemikian hanya untuk pulang dari stesen pengangkutan awam.
Pengalaman itu diketengahkan dalam komentar KRI bertajuk What Does It Mean to Live Near a Train Station? yang menegaskan bahawa tinggal berdekatan stesen tidak semestinya membolehkan seseorang bergantung kepada pengangkutan awam atau menjalani kehidupan tanpa kereta.
Penyelidikan KRI mengenai jurang perjalanan awal dan akhir di Greater Kuala Lumpur turut mengenal pasti laluan rosak, pencahayaan lemah, kekurangan tempat berteduh dan pendedahan kepada lalu lintas sebagai antara masalah berulang yang dihadapi pengguna.
Wai Son berkata pengalaman di peringkat pengguna wajar diberi perhatian ketika Malaysia giat merancang pembangunan berorientasikan transit (TOD).
Pada pelancaran Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam pada 28 Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menggesa tanah milik Prasarana Malaysia Bhd berhampiran stesen dibangunkan sebagai perumahan rakyat berkonsepkan TOD.
Beliau turut meminta pembangunan di lokasi strategik berhampiran stesen LRT dan Transit Aliran Massa (MRT) menyediakan kemudahan parkir mencukupi serta ruang perniagaan untuk usahawan kecil dan sederhana.
Kira-kira sebulan kemudian, Prasarana mengesahkan pihaknya berada pada peringkat akhir memuktamadkan perjanjian bagi lapan projek perumahan rakyat berkonsepkan TOD di sepanjang laluan Ampang dan Kelana Jaya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan, dilaporkan berkata beberapa projek sudah dimulakan, termasuk di Ara Damansara dan Rivera, manakala projek lain masih dalam proses dimuktamadkan.
Bagaimanapun, Wai Son berkata persoalan penting ialah sama ada isi rumah sasaran mampu tinggal di kawasan berkenaan dan menggunakan pengangkutan awam dengan selamat tanpa bergantung kepada kereta.
Katanya, ujian pertama bagi pembangunan perumahan padat bersebelahan stesen ialah kualiti keseluruhan perjalanan pejalan kaki.
Penilaian itu perlu merangkumi sama ada laluan yang disediakan adalah terus dan bersambung, keselamatan ketika melintas jalan serta ketersediaan pencahayaan dan tempat berteduh.
Beliau berkata, laluan pejalan kaki berbumbung di dalam kawasan pembangunan hanya mewakili sebahagian kecil perjalanan sebenar pengguna dari pintu kediaman hingga ke stesen.
Bagi kawasan yang terlalu jauh untuk dilalui dengan berjalan kaki, kebolehpercayaan perkhidmatan bas pengantara menjadi faktor kritikal.
Perkhidmatan yang cekap pada waktu pagi tetapi tidak menentu pada sebelah malam hanya menyelesaikan sebahagian daripada masalah perjalanan pengguna.
Mengenai penyediaan ruang parkir, Wai Son berkata jumlah petak yang disediakan bagi setiap kediaman perlu dipertimbangkan secara teliti berdasarkan keperluan isi rumah.
Ruang dan sumber yang digunakan untuk membina tempat letak kereta boleh dimanfaatkan bagi menyediakan lebih banyak rumah, ruang perniagaan kecil, akses pejalan kaki yang lebih baik atau unit komersial untuk memenuhi keperluan penduduk.
Beliau berkata, TOD yang berkesan perlu membolehkan penduduk memenuhi keperluan harian dengan mudah, menggunakan bas pengantara yang boleh dipercayai dan berjalan ke stesen melalui laluan selamat.
Manfaat sebenar TOD akhirnya perlu dinilai berdasarkan pengalaman harian penduduk, termasuk sama ada mereka boleh berjalan pulang dengan selamat dalam gelap dan berasa lebih mudah untuk meninggalkan kereta di rumah.
Sumber – Berita Harian





