Monday, October 5, 2026
HomeBERITARatusan Sekolah Ditutup Susulan Protes Pelajar Gegarkan Perancis

Ratusan Sekolah Ditutup Susulan Protes Pelajar Gegarkan Perancis

PARIS – Kira-kira 500 sekolah di seluruh Perancis ditutup sepenuhnya atau sebahagiannya hari ini susulan gelombang protes pelajar yang melanda negara berkenaan.

Menteri Pendidikan, Edouard Geffray, berkata proses pengajaran dan pembelajaran akan ‘digantung sepenuhnya atau sebahagiannya’ di 400 hingga 500 sekolah menengah berikutan keadaan keselamatan yang ‘belum mengizinkan’.

Beliau berkata, setakat ini, sebanyak 24 sekolah ‘dibakar atau dirosakkan’ sejak gerakan itu bermula.

Katanya, langkah penutupan sekolah itu sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan menjelang protes berskala besar yang dirancang pemimpin gerakan berkenaan esok.

Pelajar sekolah menengah Perancis, yang dikenali sebagai lycees, mendakwa pengajian mereka terjejas akibat kadar ketidakhadiran guru yang tinggi, waktu persekolahan yang terlalu panjang dan kemudahan sekolah yang daif, selain beberapa rungutan lain.

Geffray memberi jaminan sesi pembelajaran akan disambung semula secara berperingkat.

Sementara itu, Presiden wilayah Ile-de-France yang meliputi kawasan sekitar ibu negara, Valerie Pecresse, berkata kepada penyiar Franceinfo, lebih satu pertiga daripada 468 sekolah di wilayah itu ditutup pada hari ini akibat protes berkenaan.

Gerakan itu bermula di sebuah sekolah di Paris pada 17 September lalu sebelum berkembang menjadi protes di seluruh negara minggu lalu yang dicemari insiden keganasan di beberapa lokasi, membabitkan pelajar dan pasukan keselamatan.

Pasukan keselamatan menggunakan gas pemedih mata dan belantan terhadap pelajar.

Lebih 5,000 orang, dengan 85 peratus daripadanya adalah golongan bawah umur, ditahan sejak gerakan itu bermula.

Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan pada semalam berhubung serangan terhadap seorang guru di bandar La Ciotat, selatan Perancis.

Guru berusia 59 tahun itu dikatakan dipukul dan disiram petrol ketika protes pelajar sekolah menengah pada Jumaat.

Minggu lalu, sekumpulan remaja dirakam memukul dan menendang anggota polis yang terbaring di atas tanah di Belfort, timur Perancis, dalam kejadian yang mencetuskan kecaman dalam kalangan pegawai kerajaan.

Cawangan Amnesty International di Perancis minggu lalu mengecam “keganasan polis yang didakwa tidak seimbang” dalam menangani demonstrasi berkenaan dan berkata pelajar mesti dibenarkan menyuarakan bantahan mereka.

“Pihak berkuasa mesti membenarkan golongan muda menggunakan hak ini tanpa rasa takut dipukul dengan bom tangan gas pemedih mata atau baton atau ditahan sewenang-wenangnya oleh polis,” kata Presiden Amnesty Perancis, Anne Savinel-Barras.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Laurent Nunez, berkata pasukan keselamatan “bukan menindas golongan muda”, sebaliknya “melindungi” pelajar sekolah dan universiti yang mahu “menyuarakan tuntutan mereka secara aman”.

Sumber – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Changi Kekal No. 1, Ini 5 Lapangan Terbang Terbaik Dunia

0
Bagi yang gemar melancong, lapangan terbang bukan sekadar tempat untuk berlepas dan mendarat, malah pengalaman di dalamnya turut menjadi sebahagian daripada perjalanan. Terbaharu, Skytrax World...

CATEGORIES