Thursday, August 13, 2026
HomeHIBURANAliff Aziz Mahu Maafkan Diri, Enggan Dibelenggu Kisah Silam

Aliff Aziz Mahu Maafkan Diri, Enggan Dibelenggu Kisah Silam

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz, enggan membiarkan kisah silam terus menghantuinya, sebaliknya memilih untuk belajar memaafkan diri sendiri agar dapat melangkah ke hadapan dengan lebih positif.

Aliff atau Mohammad Aliff Aziz, 35, berkata, dia tidak mahu terus dibelenggu kesilapan lalu sehingga mengorbankan masa dan kehidupan yang sepatutnya digunakan untuk memperbaiki diri.

“Saya kena jujur dengan diri sendiri dan segala kelakuan saya pada masa silam. Saya harus mencari kaedah untuk memaafkan diri sendiri kerana hanya dengan cara itu, barulah saya boleh bergerak ke hadapan.

“Bukan bermakna saya tidak memikirkan apa yang berlaku sepanjang saya berkecimpung dalam industri ini, tetapi sampai bila?

“Saya sudah berusia 35 tahun dan mahu menghabiskan sisa kehidupan, sama ada dalam industri mahupun kehidupan secara umum, dengan sesuatu yang positif.

“Jadi, semuanya bermula dengan menyedari kelemahan dan kekurangan diri. Apabila melihat ke dalam diri, saya tidak mempunyai waktu untuk fokus kepada apa yang ada di luar,” katanya ketika ditemui pada sidang media Mansur & Liu, baru-baru ini.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Sayang Sayang itu akur bahawa dia tidak mungkin dapat mengubah persepsi buruk segelintir masyarakat terhadap dirinya dan memilih untuk menerima pandangan tersebut dengan hati terbuka.

“Apa yang orang mahu kata atau pendapat mereka, saya terima dengan hati terbuka.

“Nama pun pendapat. Betul atau tidak, bukan saya yang menilai. Itu di luar bidang kuasa saya untuk mengubah persepsi orang.

“Apa yang boleh saya fokus ialah untuk bangkit semula. Apa yang Allah berikan, saya ambil dan benar-benar fokus kepadanya.

“Alhamdulillah, ia memberikan saya ketenangan. Saya percaya kepada konsep rezeki. Di mana ada rezeki saya, di situ saya akan berusaha,” katanya.

Dalam pada itu, Aliff tidak menafikan ada masanya hatinya tetap terguris apabila membaca komen mengenai dirinya, namun percaya doa daripada insan tersayang akan sentiasa mengiringi perjalanan hidupnya.

“Alhamdulillah, masih ada doa ayah dan umi. Saya juga mendapat sokongan daripada adik-beradik, sahabat-sahabat jemaah serta rakan-rakan dalam industri. Mereka banyak memberikan kata-kata semangat.

“Bagi saya, perkara ini bukan sesuatu yang mudah kerana saya juga manusia biasa yang mempunyai perasaan. Ada hari yang baik dan ada juga hari yang buruk.

“Kawan saya pernah berpesan, anggap sahaja seperti saya sedang memandu kereta. Kita tidak boleh melihat cermin belakang terlalu lama kerana perlu fokus kepada perjalanan di hadapan.

“Saya cuba untuk menjadi lebih optimistik dan menjalani kehidupan yang lebih sihat. Saya meluangkan masa di gimnasium dan menjaga pemakanan.

“Perkara-perkara seperti inilah yang mungkin dapat membantu saya menjadi insan lebih baik serta meneruskan kehidupan ke hadapan,” katanya.

Sumber – UTUSAN

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Cef Louis Han Berbintang MICHELIN Kembali Ke ATAS, The RuMa Dengan...

0
1 Ogos, KUALA LUMPUR, MALAYSIA – Susulan kejayaan edisi sulungnya pada Jun lalu, The RuMa Hotel and Residences meneruskan siri ATAS Key Tables dengan...

CATEGORIES