Thursday, October 8, 2026
HomeHIBURANMungkin Ada Faktor Tenikal Dia Tidak Ditemuramah Media - Hazamin Inteam

Mungkin Ada Faktor Tenikal Dia Tidak Ditemuramah Media – Hazamin Inteam

KUALA LUMPUR – Anggota kumpulan Inteam, Muhammad Hazamin Harun menyifatkan isu seorang penyanyi nasyid yang mendakwa seolah-olah dipinggirkan media ketika menghadiri Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-25 di Kuching, Sarawak, baru-baru ini sebagai salah faham yang berpunca daripada faktor teknikal.

Hazamin berkata, ada kemungkinan media belum bersedia untuk mendapatkan reaksi penyanyi berkenaan yang juga pemenang pertama diumumkan pada malam kemuncak AIM 25.

Tambahnya, situasi sama turut berlaku ketika Inteam diumumkan sebagai pemenang kategori Vokal Kumpulan Terbaik apabila media masih belum bersedia sepenuhnya untuk mendapatkan reaksi mereka.

“Saya fikir ada sedikit salah faham. Kategori Lagu Nasyid Terbaik adalah yang terawal diumumkan. Apabila pemenang keluar dari dewan, mungkin media ketika itu belum benar-benar bersedia.

Malah, ketika giliran kami diumumkan selepas itu pun, keadaan masih belum sepenuhnya bersedia. Jadi, saya fikir ia lebih kepada salah faham daripada segi teknikal,” katanya.

Hazamin memuji penganjuran edisi Jubli Perak AIM yang julung kali berlangsung di Bumi Kenyalang, terutama dari aspek hospitaliti dan layanan diterima sepanjang berada di Sarawak.

“Secara peribadi, saya puji penganjuran AIM di Sarawak kerana sambutan dan hospitalitinya memang sangat baik. Kami tidak rasa tidak dilayan.

“Secara jujur, kami menikmati pengalaman itu. Media pula datang untuk memberikan liputan kepada pemenang,” katanya.

Bagaimanapun, Hazamin tidak menolak kemungkinan tindakan penyanyi terbabit antara lain bertujuan mendapatkan perhatian serta liputan lebih meluas di media sosial.

“Tetapi, mungkin apa yang dilakukan penyanyi itu juga menjadi satu strategi untuk mendapatkan cerita kerana selepas luahan itu, banyak laporan mengenainya.

“Itu sekadar pandangan saya,” katanya.

Sementara itu, Hazamin berharap isu berkenaan tidak menjejaskan hubungan baik antara media dengan penggiat nasyid lain yang selama ini sentiasa terbuka untuk bekerjasama dalam memberikan liputan terhadap perkembangan industri nasyid.

“Kami berharap media tidak berkecil hati kerana media juga mengenali ramai artis nasyid lain seperti Inteam, Rabbani dan Hijjaz yang memang mesra media.

“Saya rasa artis baharu perlu mengenali dan membina hubungan baik dengan media. Jangan anggap media sebagai orang asing. Kita semua kawan dalam industri.

“Abang Azadan (Rabbani) sendiri banyak berpesan kepada kami mengenai perkara ini. Dia memang mempunyai hubungan baik dengan media dan selalu mengingatkan kami supaya berkawan dengan media.

“Saya rasa itu antara perkara yang boleh dipelajari artis baharu daripada artis lama seperti Hijjaz dan Rabbani,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hijjaz bakal mengubat kerinduan peminat menerusi Konsert Hijjaz 3 Dekad: Rindu Sumayyah di IB pada 16 dan 17 Oktober ini.

Dianjurkan Inteam Records, konsert berkenaan bukan sekadar persembahan nostalgia, sebaliknya menjadi penghargaan terhadap perjalanan, karya, persahabatan, perjuangan serta legasi Hijjaz yang mewarnai perkembangan industri nasyid tanah air selama tiga dekad.

Sumber – Berita Harian

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Guru Kontrak Bakal Dapat Tawaran Lantikan

0
KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,150 calon guru yang dilantik secara kontrak (CoS) akan menerima surat tawaran lantikan pada bulan ini bagi menampung kemasukan pelajar...

CATEGORIES