Tuesday, November 17, 2026
HomeHIBURANZiana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri Dan Syamel Bersatu Dalam Konsert

Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri Dan Syamel Bersatu Dalam Konsert

Tahun 2025 bakal mencatat satu lagi detik bersejarah dalam dunia hiburan tanah air apabila empat nama besar industri muzik Malaysia yang berkongsi ikatan kekeluargaan bakal berkongsi satu pentas dalam sebuah konsert eksklusif.

Jika sebelum ini, peminat sering dihidangkan dengan konsert solo, gabungan vokalis rock mahupun kolaborasi penyanyi serantau Malaysia-Indonesia, kali ini sejarah tercipta dengan penganjuran Empat Live In Kuala Lumpur 2025, menggabungkan dua generasi penghibur dari satu keluarga.

Dibawakan oleh Anuar Zain Network dengan kerjasama Altus ProHouse, konsert tersebut bakal menyatukan semula dua adik-beradik legenda, Anuar Zain dan Ziana Zain, bersama anak saudara mereka, Ernie Zakri, serta suaminya, Syamel. Keempat-empat mereka, yang masing-masing mempunyai pencapaian cemerlang dalam industri, dijadualkan menggegarkan pentas Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 18 Oktober 2025.

Lebih menarik, Empat Live In Kuala Lumpur 2025 tidak hanya mempamerkan kehebatan vokal, tetapi turut meraikan nilai kekeluargaan, cinta, dan semangat merentas generasi.

“Ini adalah sebuah projek yang sangat mengujakan kerana tidak ada salah seorang pun daripada kami pernah terfikir bahawa pada akhirnya takdir membawa kami; saya dan kakak, Ziana serta anak buah kami Ernie dan suaminya, Syamel akan terlibat dalam industri yang sama sebagai penghibur dan bakal menghiburkan anda di atas satu pentas.”

Menurut Anuar Zain, idea konsert ini telah dirancang sejak beberapa tahun lalu, namun kesibukan jadual keempat-empat artis menyebabkan projek ini hanya dapat direalisasikan pada tahun ini.

“Alhamdulillah tahun ini bakal menyaksikan Empat Live In Kuala Lumpur 2025 dapat direalisasikan juga sesuai perancangan.”

“Konsert Empat Live In Kuala Lumpur 2025 ini bukan tentang kami tapi tentang ikatan kekeluargaan, bakat yang diraikan dan cara kami menghargai sokongan peminat daripada semua generasi terhadap karya-karya yang pernah dan bakal dilahirkan.
Kami dengan rendah hati berharap agar semua peminat dapat menikmati Empat Live In Kuala Lumpur 2025 dengan ‘semangat cinta dan kasih sayang’ yang besar untuk satu sama lain,” kata Anuar.

“Konsert ini seperti temasya yang berjaya direalisasikan selepas mendapat banyak permintaan dalam kalangan peminat. Peminat hadir ke sebuah konsert tetapi menikmati karya daripada dua generasi; generasi saya, Anuar, Ernie serta Syamel.
Saya juga tidak mahu menjanjikan sesuatu yang luar biasa tapi datanglah dan menikmati Empat Live In Kuala Lumpur 2025 dengan sebaiknya. Saya mahu peminat pulang daripada konsert kami yang penuh magis dengan momen yang indah.
Konsert ini juga akan menjadi bukti bahawa peminat kita tidak hanya menyokong seorang sahaja penyanyi kegemaran mereka tetapi selalu memberi dukungan kepada industri muzik tempatan,” katanya.

“Sebagai penghibur legenda, Ziana dan Anuar telah membuat debaran saya berkurang kerana sangat terbuka dan profesional menerima kami (Ernie dan Syamel) bekerjasama dalam konsert berskala besar ini. Saya menangis selepas dilamar merealisasikan konsert bersama ibu dan bapa saudara yang selama ini sangat saya kagumi dengan membesar melihat bagaimana mereka berusaha keras untuk berjaya. Empat Live In Kuala Lumpur 2025 adalah sebuah impian saya dari sejak lama lagi dan bakal menjadi realiti tidak lama lagi,” ujar Ernie.

Menganggap Empat Live In Kuala Lumpur 2025 sebagai pentas ‘pesta vokal’ keluarga, Ernie bertekad untuk meninggalkan kenangan manis yang sukar dilupakan buat para peminat.

“Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri ; masing-masing adalah legenda. Justeru apa yang saya lihat dengan kerjasama kami berempat dalam Empat Live In Kuala Lumpur 2025 menerusi energi masing-masing boleh membuahkan konsep persembahan yang menarik,” kata Syamel.

Untuk memastikan produksi berjalan lancar dan berkualiti tinggi, nama besar Jennifer Thompson dilantik sebagai pengarah konsert, manakala pengarah muzik pula digalas oleh Sze Wan, seorang figura berpengalaman luas dalam industri muzik.

“Keempat-empat mereka adalah penyanyi dan penghibur yang hebat, tetapi apa yang menjadikan persembahan ini magis ialah setiap seorang daripada mereka mempunyai gaya istimewa yang tersendiri. Peluang untuk bekerjasama dengan bakat dan repertoire sebesar ini ibarat seorang kanak-kanak di kedai gula-gula.

“Akan ada banyak detik istimewa untuk para peminat yang hanya boleh dialami dalam persembahan ini, kolaborasi serta peluang untuk menyanyi bersama lagu-lagu pop terbesar yang merentasi empat dekad. Konsert ini 100 peratus hiburan untuk seisi keluarga dan semua peringkat umur,” kata Jennifer.

Tiket konsert yang berharga bermula daripada RM288 (Bronze) hingga RM2,088 (Royal Twin Seat – dua tiket) sudah mula dijual di laman web rasmi Ticket2U bermula 25 April lalu.

Menariknya, pihak penganjur turut memberi perhatian kepada golongan kelainan upaya (OKU) dengan menyediakan talian khas di +6011-1190 0518 untuk pembelian tiket.

Dengan gabungan generasi, bakat dan kasih sayang keluarga, Empat Live In Kuala Lumpur 2025 dijangka mencipta fenomena dan mengukir satu lagi sejarah manis dalam industri muzik Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Isi Minyak Guna Suara Pelbagai Bahasa Pertama Di Malaysia

0
Aplikasi mobiliti tempatan, Setel memperkenalkan Voice Fuelling iaitu ciri berkuasa AI yang membolehkan pengguna mengaktifkan pam minyak hanya dengan menggunakan arahan suara. Kini dalam fasa...

CATEGORIES