Saturday, July 18, 2026
HomeHIBURANTVS Bawa "AIM25" Ke Kuching Buat Julung Kali Dalam Sejarah

TVS Bawa “AIM25” Ke Kuching Buat Julung Kali Dalam Sejarah

KUALA LUMPUR, 16 JULAI 2026 – Buat julung-julung kali dalam sejarah 25 tahun penganjurannya, Anugerah Industri Muzik (AIM), platform pengiktirafan muzik paling berprestij dan berpengaruh di Malaysia sejak 1993, bakal mencipta detik bersejarah apabila edisi Jubli Peraknya, AIM25, melangkah ke pentas baharu di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak pada 26 September 2026.

Ini merupakan kali pertama AIM diraikan di luar Semenanjung Malaysia, sekali gus menandakan satu lembaran baharu yang penuh simbolik dalam perjalanan industri muzik tanah air. Langkah berani ini bukan sahaja memperluaskan pentas pengiktirafan tertinggi negara, malah mengangkat kepelbagaian suara, budaya dan kreativiti dari seluruh Malaysia ke sorotan utama.

Bagi edisi istimewa ini, TVS selaku Penyiar Rasmi dan Penganjur Bersama AIM25, sekali gus menjadi jambatan yang membawa gemilang malam anugerah berprestij ini dari Kuching ke seluruh negara menerusi siaran televisyen, platform digital serta penstriman percuma melalui TVS Inspire.

AIM25: Meraikan 25 Tahun Legasi Muzik Malaysia

Diasaskan oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) pada tahun 1993, Anugerah Industri Muzik (AIM) telah menjadi pentas utama dalam mengiktiraf kecemerlangan artis, pencipta lagu, penerbit, pemuzik serta tenaga kreatif yang membentuk landskap muzik Malaysia.

Sebagai badan yang mewakili pemegang hak rakaman muzik di Malaysia serta ahli kepada International Federation of the Phonographic Industry (IFPI) yang mewakili industri rakaman di lebih 70 negara, RIM terus memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan ekosistem muzik tempatan.

Meraikan ulang tahun ke-25 penganjurannya, AIM25 hadir bukan sekadar sebagai sebuah acara anugerah, tetapi sebagai refleksi perjalanan industri muzik Malaysia yang terus berkembang, berevolusi dan membuka ruang kepada lebih banyak genre, bahasa serta identiti budaya.

Kuching Menjadi Pentas Sejarah AIM25

Pemilihan Kuching sebagai lokasi penganjuran AIM25 buat pertama kali menjadi simbol penting dalam usaha memperluaskan pengiktirafan industri muzik negara secara lebih menyeluruh.

Lebih daripada sekadar sebuah lokasi acara, Kuching menjadi titik pertemuan pelbagai warna muzik Malaysia, menghubungkan bakat dan karya dari Semenanjung, Sabah serta Sarawak dalam satu pentas nasional.

Penganjuran AIM25 di Sarawak turut memperlihatkan keupayaan negeri ini sebagai destinasi acara seni, budaya dan hiburan berskala besar, sekali gus membuka peluang baharu dalam memperkukuhkan industri kreatif, pelancongan serta ekonomi acara di rantau ini.

Pada masa sama, ia memberi ruang lebih luas kepada bakat serantau untuk mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan, membuktikan bahawa muzik Malaysia terbina daripada pelbagai suara dan identiti yang saling melengkapi.

Kategori Baharu Mengangkat Kepelbagaian Muzik Malaysia

Sempena sambutan Jubli Peraknya, AIM25 turut memperkenalkan dua kategori baharu yang mencerminkan kepelbagaian budaya serta evolusi muzik negara.

Kategori “LAGU BORNEO TERBAIK” diperkenalkan bagi mengiktiraf karya muzik yang meraikan kekayaan budaya, bahasa, tradisi serta identiti unik masyarakat Sabah dan Sarawak, termasuk karya yang menggambarkan semangat dan kreativiti komuniti Borneo.

Sementara itu, kategori “LAGU PERAYAAN TERBAIK” pula menghargai karya muzik yang mencerminkan kegembiraan, nilai dan tradisi sambutan perayaan masyarakat Malaysia yang berbilang budaya, sekali gus meraikan semangat perpaduan dan kebersamaan.

Pengenalan kategori baharu ini memperlihatkan komitmen AIM dalam memastikan pengiktirafan industri muzik Malaysia terus berkembang selari dengan kepelbagaian budaya dan ekspresi kreatif negara.

Sokongan Strategik Memperkukuh Industri Kreatif Negara

AIM25 turut menerima sokongan strategik daripada pihak kerajaan yang memperlihatkan kepentingan industri muzik sebagai salah satu komponen penting dalam pertumbuhan ekonomi kreatif Malaysia.

Melalui Kementerian Komunikasi, sejumlah RM950,000 Dana Pengiktirafan akan disalurkan kepada pemenang bagi 16 kategori AIM25 menerusi peruntukan pembangunan yang ditadbir oleh MyCreative Ventures (MyCV).

Sokongan ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menggalakkan kecemerlangan seni, memperkukuhkan industri kreatif negara serta menghargai sumbangan para penggiat muzik tempatan.

Selain itu, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP Sarawak) turut memperkukuhkan AIM25 menerusi Geran Sokongan Acara MTCP Sarawak, selaras dengan aspirasi Sarawak untuk memperkukuhkan kedudukannya sebagai hab seni, budaya dan acara kreatif bertaraf nasional serta serantau.

TVS: Membawa Suara Sarawak Ke Seluruh Malaysia

Sejak penubuhannya pada tahun 2020, TVS berkembang daripada sebuah stesen televisyen tempatan yang membawa cerita, budaya dan aspirasi Sarawak kepada sebuah platform penyiaran yang semakin mendapat kepercayaan di peringkat nasional.

Sebagai satu-satunya stesen televisyen di Malaysia yang menyiarkan berita dalam empat bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Iban dan Mandarin, TVS terus memainkan peranan dalam meraikan kepelbagaian masyarakat Malaysia menerusi kandungan yang inklusif.

Pertumbuhan TVS turut diterjemahkan menerusi capaian penonton yang semakin meluas, dengan merekodkan 93.1 juta tontonan televisyen serta 403 juta tontonan digital dan media sosial di seluruh negara pada suku pertama 2026.

Sebagai salah satu saluran percuma (FTA) yang paling pesat berkembang di Malaysia, TVS kini memperluaskan jangkauannya menerusi TVS 122 melalui MYTV, Unifi TV dan Astro, selain platform penstriman percuma TVS Inspire.

Sebagai Penyiar Rasmi dan Penganjur Bersama AIM25, TVS akan membawa malam anugerah muzik berprestij negara ini dari Kuching kepada penonton di seluruh Malaysia.

CATS FM: Rakan Radio Rasmi AIM25

Melengkapkan ekosistem penyiaran AIM25, CATS FM turut diumumkan sebagai Rakan Radio Rasmi bagi edisi Jubli Perak ini. Selari dengan semangat membawa AIM25 lebih dekat kepada masyarakat Sarawak dan seluruh negara, CATS FM akan memainkan peranan penting dalam menyemarakkan kempen serta kemeriahan menuju malam anugerah menerusi pelbagai promosi, liputan dan kandungan khas di platform radionya.

Sebagai stesen radio yang dekat dengan denyut nadi masyarakat Sarawak, kerjasama ini bukan sahaja memperkukuhkan jangkauan AIM25 kepada pendengar di seluruh negeri, malah melengkapkan capaian televisyen, digital dan penstriman bagi memastikan cerita di sebalik malam anugerah berprestij ini dapat dinikmati oleh khalayak yang lebih luas di seluruh Malaysia.

Menuju AIM25 Menerusi “Hits 122 Edisi AIM25”

Mengiringi perjalanan menuju malam kemuncak AIM25, TVS turut mempersembahkan “Hits 122 Edisi AIM25”, sebuah siri mingguan 13 episod yang membawa penonton lebih dekat dengan kisah, karya dan insan kreatif yang membentuk industri muzik Malaysia.

Bermula 25 Julai 2026, setiap Sabtu jam 8.30 malam menerusi TVS 122, rancangan ini akan mengetengahkan sejarah AIM, kisah pemenang terdahulu, calon terpilih, karya muzik serta insan di sebalik tabir industri muzik tanah air.

Program ini dibangunkan berdasarkan enam objektif utama iaitu Promote, Excite, Educate, Highlight, Engage dan Elevate, dengan matlamat memperluaskan capaian muzik tempatan serta meningkatkan penglibatan penonton menjelang AIM25.

Petikan TVS

“TVS berbesar hati dinamakan sebagai Penyiar Rasmi dan Penganjur Bersama AIM25. Kami bermula sebagai suara Sarawak, membawa cerita rakyat, budaya dan muzik tanah air dalam empat bahasa yang jarang ditemui di bawah satu bumbung siaran.

Apabila AIM, anugerah muzik paling berprestij negara, memilih untuk meraikan Jubli Peraknya di Kuching buat julung kali, ia bukan sekadar satu penghormatan, tetapi satu pengiktirafan bahawa suara dari Sarawak kini turut menjadi suara Malaysia.

Melalui AIM25 dan Hits 122 Edisi AIM25, TVS berharap dapat membawa penonton lebih dekat dengan perjalanan insan seni tanah air serta memperkenalkan bakat dan industri muzik Malaysia kepada khalayak yang lebih luas menerusi televisyen, digital dan TVS Inspire.”

Mohamad Sardon Bin Zainal, Ketua Pegawai Media TVS

Petikan CATS FM

“CATS FM berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada perjalanan bersejarah ini sebagai Rakan Radio Rasmi AIM25. Sebagai stesen radio yang membesar bersama masyarakat Sarawak, kami memahami betapa bermaknanya detik ini apabila anugerah muzik paling berprestij negara memilih Kuching sebagai tuan rumah buat julung kali.

Menerusi gelombang CATS FM, kami akan membawa semangat dan cerita di sebalik AIM25 terus ke telinga para pendengar, dari Kuching ke seluruh Sarawak dan Malaysia. Kami berharap kerjasama ini bukan sahaja menyemarakkan keterujaan menjelang malam anugerah, malah dapat terus meraikan bakat, karya dan perkembangan industri muzik tempatan bersama seluruh rakyat Malaysia.”

Haji Mohamad Fadzli Bin Daud, Pengurus Program CATS FM

Petikan RIM

“AIM25 amat bermakna kerana kita meraikan Jubli Perak bagi sebuah anugerah muzik yang telah menjadi platform penting dalam mengiktiraf bakat, kreativiti dan dedikasi penggiat muzik Malaysia. Sepanjang 25 edisi, AIM terus berkembang seiring perubahan industri muzik negara.”

“Kami menghargai sokongan Kementerian Komunikasi, MTCP Sarawak serta kerjasama TVS sebagai Penyiar Rasmi dan Penganjur Bersama AIM25 dalam menjayakan edisi bersejarah ini. Bersama-sama, kita akan meraikan muzik Malaysia dan terus memberi inspirasi kepada perkembangan industri kreatif negara.”

Rosmin Hashim, Pengerusi RIM & AIM

AIM25 akan berlangsung pada 26 September 2026 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak dan disiarkan menerusi TVS 122 (MYTV, Unifi TV & Astro) serta boleh distrim melalui TVS Inspire.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Syukur Kepada Allah SWT’ – Kamal Adli Hos Terbaharu Melodi

0
PETALING JAYA – Pelakon Kamal Adli diumumkan sebagai hos baharu program Melodi sekali gus menggantikan tempat Fikry Ibrahim yang mengundurkan diri baru-baru ini. Kamal atau...

CATEGORIES