Buat julung kalinya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengadakan kolaborasi strategik bersama Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026 dalam menggerakkan agenda memperkasa promosi produk tempatan. Inisiatif ini adalah susulan daripada pelancaran gerakan “Jom Beli Produk Malaysia (JOM MALAYSIA)” yang telah dilancarkan pada 27 Jun 2026 sebagai strategi transformasi kepada evolusi Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia yang telah bermula sejak tahun 1984.
Kerjasama ini menjadi platform strategik dalam usaha memartabatkan produk dan jenama tempatan menerusi penganjuran temasya fesyen bertaraf antarabangsa yang menjadi tumpuan pemain industri, peminat fesyen, pelancong dan media dari dalam dan luar negara.

Kolaborasi KPDN dan KLFW adalah sebahagian daripada strategi dan pendekatan baharu di bawah JOM MALAYSIA. Transformasi JOM MALAYSIA bukan sekadar perubahan dari sudut penjenamaan bersifat kosmetik, tetapi merupakan satu anjakan yang digerakkan menerusi empat teras utama iaitu:
- Gerakan Nasional: menjadikan JOM MALAYSIA sebagai satu agenda nasional yang berakarkan nilai dan semangat patriotisme ekonomi, di samping memperkukuh peranan produk dan perkhidmatan tempatan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi negara.
- Pendekatan Whole-of-Nation: menggerakkan penglibatan menyeluruh semua pihak sebagai pemegang taruh, bukan sahaja melibatkan agensi Kerajaan, malah turut merangkumi sektor industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat sebagai penggerak utama agenda ini.
- Keterangkuman Produk Tempatan: memperluas skop JOM MALAYSIA bukan hanya bertumpu kepada kategori barangan, tetapi merangkumi pelbagai bentuk produk tempatan termasuk perkhidmatan.
- Memperluas Pasaran: Menjadikan JOM MALAYSIA bukan sekadar gerakan untuk menggalakkan sokongan dalam kalangan rakyat tempatan, tetapi sebagai platform memperkenalkan produk Malaysia kepada pelancong serta pengguna antarabangsa. Pendekatan ini membuka ruang kepada produk tempatan berkembang daripada pasaran lokal ke pasaran global (local to global).
KPDN mendapati kerjasama strategik dengan KLFW 2026 adalah inisiatif yang menepati empat teras yang digariskan. KLFW 2026 akan berlangsung dari 3 hingga 9 Ogos 2026 di Esplanade, KLCC dengan himpunan pelbagai pengisian sebagai citra perkembangan industri fesyen tempatan merangkumi pertunjukan fesyen, pameran jenama, sesi padanan perniagaan, perkongsian industri serta aktiviti libat urus bersama pemain industri fesyen dan gaya hidup.

Edisi kali ini menampilkan penyertaan pelbagai jenama fesyen tempatan, usahawan kreatif serta rakan strategik industri yang bersama-sama memperkukuh ekosistem fesyen Malaysia. Penglibatan kira-kira 60 jenama tempatan, 35 pereka fesyen dan lebih 20 rakan strategik membuktikan KLFW bukan sahaja menjadi pentas memperagakan kreativiti dan inovasi industri fesyen negara, malah berperanan sebagai platform strategik dalam memperluas peluang perniagaan, menarik pelaburan serta membuka akses pasaran baharu kepada produk dan jenama Malaysia.
Sebagai satu pengisian utama KLFW 2026, satu segmen khas akan diperkenalkan iaitu “Fashion Forward Batik Malaysia” yang menampilkan 30 rekaan eksklusif daripada 10 pereka fesyen tempatan. Koleksi ini menggunakan tekstil batik asli tempatan dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia yang diterjemahkan dalam rekaan kontemporari, sekali gus membuktikan bahawa warisan tempatan mampu memenuhi cita rasa pasaran premium dan antarabangsa.





