Monday, September 21, 2026
HomeHIBURAN‘Terima Kasih Gelakkan Saya, Kata Saya Cakap Besar’ - Evertts Gomes

‘Terima Kasih Gelakkan Saya, Kata Saya Cakap Besar’ – Evertts Gomes

MASIH hijau di lapangan seni, Evertts Gomes kini semakin kukuh membina momentum tersendiri.

Bagi pemilik nama lengkap Evertts McClane Gomes itu, perjalanan seni yang baru diceburinya selama tiga tahun diibaratkan seperti seorang bayi yang baru mula belajar bertatih.

Bagaimanapun, jejaka berusia 28 tahun itu mengakui keluarganya baru perlahan-lahan menunjukkan rasa bangga atas minatnya terhadap bidang lakonan.

“Sebagai seorang pelakon yang baru mula, baru tiga tahun, baru belajar berjalan. Jadi, keluarga saya perlahan-lahan bangga dengan saya dan nampak apa saya buat adalah minat saya.

“Mereka juga sokong saya 100 peratus dan itu yang saya nak daripada keluarga saya terutamanya mak saya,” katanya kepada HibGlam.

Sambungnya lagi, latar belakang keluarganya yang senada dengan dunia seni muzik membuatkan ramai pihak menyangka haluan kerjayanya bakal menjejaki laluan sama.

Namun, impiannya untuk ‘membawa diri’ sebagai seorang pelakon pada awalnya hanya menjadi bahan tawa rakan-rakan terdekat.

“Sejujurnya saya sebenarnya datang daripada keluarga muzik. Jadi jangkaan orang memang saya akan jadi penyanyi atau penari.

“Mereka tak jangka saya jadi pelakon sebenarnya dan saya buat yang terbaik setakat ini.

“Sebenarnya ramai yang gelakkan saya, ramai yang kata ‘Kau cakap besarlah Evertts, kau takkan pergi ke mana-mana’,” jelasnya.  ‘Ramai gelakkan saya, kata saya cakap besar takkan ke mana-mana’

Tidak menganggap perkara tersebut sebagai pematah semangat, Evertts mengambil pendekatan matang dengan menjadikan setiap sindiran sebagai baja kejayaan.

“Di sini saya nak komen dekat kawan-kawan saya, terima kasih sebab kata-kata kalian kerana , ia menolak saya untuk pergi jauh.

“Saya layan ego di mana saya nak buktikan dekat kalian saya boleh buat dan alhamdulillah, syukur kepada Tuhan saya dekat sini dah, kalian dah tak boleh cakap saya cakap besar sebab saya dah buktikan,” jelasnya.

Ghafar suara rakyat

Usaha keras finalis program Hero Remaja 2023 itu membuahkan hasil apabila membintangi francais popular, High Council yang berjudul KUDRAT 1968: High Council.

Menerusi naskhah tersebut, Evertts memegang watak sebagai Tunku Ghafar, sebuah karakter yang disifatkannya mempunyai peranan simbolik yang cukup besar.

“Episod pertama saja saya rasa tak banyak bercakap sebab karakter saya sebenarnya akan lebih banyak bersuara selepas beberapa episod.

“Seperti mana yang saya pernah cakap juga, cerita ni bukan sekadar filem ataupun siri tapi juga suara rakyat.

“Ghafar sendiri sebenarnya suara dan mata rakyat, dialah rakyat Malaysia sendiri. Istilah saya boleh cakap adalah berani bersuara,” tuturnya.

Ditanya mengenai kesukaran tidak banyak melontarkan dialog dalam episod pertama, pelakon drama Hero Seorang Cinderella musim kedua itu mengakui perkara tersebut sebagai cabaran terbesar untuk menghidupkan watak dengan ekspresi wajah.

“Susah sangat sebenarnya. Saya rasa ramai pelakon pun akan rasa benda itu sukar, di mana kita nak menceritakan sesuatu benda yang terjadi tapi hanya dengan mata ataupun dengan reaksi muka sahaja.

“Itu sebenarnya cabaran yang terbesar tapi selepas nampak hasil, saya bangga dengan diri sendiri sebab saya dapat sampaikan benda itu.

“Saya puas hati sebab memaparkan latihan mikro-ekspresi, memahami manusia, mengkaji emosi dan mengkaji reaksi orang ramai,” jelasnya.

KUDRAT 1968: High Council merupakan prekuel kepada francais High Council yang mengisahkan permulaan sistem hierarki rahsia dalam kalangan pelajar.

Selain Evertts, naskhah arahan Zulaikha Zakaria bersama Khairi Asyraf itu turut dibintangi Mierul Aiman, Zarif Ghazzi, Akmal Asyraf, Dai Fuad dan Chech Harith.

Drama yang mengandungi empat episod dan sebuah filem tersebut menemui penonton bermula 11 September lalu.

Sumber – KOSMO! ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Rizky Febian Bakal Temui Peminat Malaysia November Ini!

0
KUALA LUMPUR, 18 SEPTEMBER 2026 – Selepas beberapa kali menemui peminat di Kuala Lumpur, penyanyi dan pencipta lagu popular Indonesia, Rizky Febian, bakal kembali...

CATEGORIES