KUALA LUMPUR – Penyanyi Iman Troye tidak pernah melihat dirinya bersaing dengan penyanyi lebih berpengalaman meskipun kini memilih untuk mengetengahkan genre pop etnik dalam karya terbaharunya.
Iman, 24, mengakui dirinya terlalu kerdil untuk dibandingkan dengan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris, sebaliknya memilih genre berkenaan sebagai medium untuk berkarya.
“Saya tak pernah terfikir hendak bersaing. Malah, saya anggap mereka sebagai idola dan penyanyi yang sangat berpengalaman.
“Tidak terlintas langsung di fikiran untuk bersaing. Siapalah saya jika hendak dibandingkan dengan mereka.
“Saya pilih industri muzik hanyalah untuk berkarya kerana masing-masing ada pendengar dan audiens sendiri.

“Saya cuma nak meluahkan dan kongsi karya seni supaya peminat dapat sama-sama nikmati, itu sahaja,” katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan single terbaharu, Jung Jung Inai, duet bersama Asslahierah di sini, baru-baru ini.
Sebelum ini, Iman dan Asslahierah pernah berganding dalam lagu Jemput Jemput Raya untuk projek 30 Hari 30 Lagu Raya, Mac lalu.
Menurut Iman, sekarang adalah masa yang tepat untuk tampil dengan album berkonsepkan pop etnik yang dilihat semakin mendapat tempat dalam kalangan pendengar.
Malah, katanya, ketika diperdengarkan demo Jung Jung Inai, dia terus tertarik dan terfikir untuk mengajak Asslahierah bekerjasama.
“Kami terpaksa menunda album pop etnik ke tahun depan kerana masa tidak mengizinkan dan kami sedang mengejar beberapa perkara.
“Namun, disebabkan lambat lagi, kami lancarkan single ini terlebih dahulu sebagai ‘teaser’.
“Namun, tidak bermakna saya tidak akan nyanyikan lagi lagu balada. Saya akan tetap selit juga jika ada kesempatan,” katanya.
Perjalanan kerjaya Iman turut memperlihatkan pencapaian dari sudut komersial apabila mencatat pendapatan RM2.5 juta tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) XO House, Adib Hamdi, berkata daripada jumlah berkenaan, RM500,000 diperoleh menerusi royalti, manakala RM2 juta lagi hasil kerja endorsement dan persembahan.
“Untuk meraih pendapatan RM2.5 juta itu bukan sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi hanya membabitkan seorang.
“Jadi, kami sangat bangga kerana Iman membuktikan anak muda boleh berdikari. Dia bersama kami sejak berusia 17 tahun dan kini hampir mencecah 24 tahun.
“Dalam tempoh tujuh tahun ini, dia konsisten dan sangat bagus,” katanya.
Bagi Iman pula, pencapaian itu bukan sesuatu yang mahu dinikmati seorang diri, sebaliknya menganggap sokongan keluarga dan pasukan pengurusan sebagai antara kekuatan yang membolehkannya terus bertahan dalam industri.
“Saya takkan boleh ada di sini tanpa Adib bersama isterinya, keluarga dan XO House.
“Saya sangat selesa dan anggap mereka seperti kakak dan abang sendiri. Mungkin sebab itu saya terus ‘push’ diri sendiri,” katanya.
Selain projek pop etnik, Iman juga bakal tampil dengan album istimewa sempena Aidilfitri tahun depan sebagai hadiah buat peminat setianya.
Sumber – Berita Harian





