PETALING JAYA – Pernah melalui episod kemurungan, pelakon dan penyanyi Daiyan Trisha bersyukur kerana berjaya keluar daripada fasa sukar itu dalam tempoh singkat, hasil sokongan insan terdekat serta keberanian untuk meluahkan segala beban dipendam.
Ujar Daiyan atau nama sebenarnya Daiyan Trisha Mohd. Nasaruddin, 33, sepanjang tempoh tersebut, emosinya berada pada tahap amat berat, namun sifatnya sebagai individu positif membantu dirinya mencari jalan untuk bangkit sedikit demi sedikit.
“Alhamdulillah, dalam dua tiga minggu macam itu, tiba-tiba saya dapat keluar daripada keadaan tersebut. Tapi sepanjang tempoh itu memang terasa seolah-olah katil saya berpusing turun ke bawah tanah.
“Sukar hendak dijelaskan kerana pengalaman setiap orang berbeza. Secara natural, saya seorang sangat positif. Kadang-kadang sedih, tetapi saya cuba sentiasa melihat sisi baik dan mencari hikmah dalam setiap perkara.
“Mungkin daripada situlah saya berjaya tarik diri keluar lebih awal. Cuma perkara itu tak boleh diaplikasikan kepada semua orang kerana pengalaman setiap individu berbeza,” katanya dalam sebuah program audio siar.
Tambah bintang drama Anom Suraya itu, kewujudan sistem sokongan menjadi antara perkara paling penting ketika melalui fasa tersebut, selain keperluan untuk membantu diri sendiri.
“Sistem sokongan sangat-sangat penting. Mujurlah saya ketika itu ada sokongan keluarga, pengurus saya, Anita yang sudah melalui banyak perkara bersama.
“Paling penting, memang perlu ada orang ‘mengangkat’ kita dan cakap, ‘Eh, tak boleh macam ini.’ Benda-benda kecil begitu pun sangat membantu.
“Tapi sistem sokongan sahaja tidak cukup. Kita juga perlu kuat dan menyokong diri sendiri,” ujarnya.
Enggan terlalu larut dalam kekusutan itu, Daiyan memilih untuk berkongsi cerita bersama keluarga dan sahabat rapat supaya segala beban emosi tidak dipendam seorang diri.
“Bagi saya, apabila fikiran ringan, badan pun terasa ringan dan tenaga kita turut menjadi lebih positif. Saya memang suka bercerita dengan kawan, keluarga dan sahabat rapat.
“Saya tak suka simpan atau bawa semuanya seorang diri. Bila dipendam, badan terasa berat. Orang mungkin tidak nampak, tetapi kita sendiri boleh rasa apa kita bawa.
“Kalau kita bawa beban dari dua tahun lalu, fikiran berat, badan berat dan hendak buat kerja pun terasa susah. Percakapan kita pun boleh berubah. Cakap, cerita dan keluarkan apa ada dalam diri. Keluarkan melalui suara,” ungkapnya.
Bukan itu sahaja, pelantun lagu Pergilah itu mengakui penulisan serta penciptaan lagu menjadi ruang menyelamatkan dirinya ketika berdepan keresahan sewaktu pandemik Covid-19.
“Tulis lagu bukan hanya hobi, malah menyelamatkan hidup saya. Saya ada anxiety. Ketika Covid-19 dulu, kalau tak menulis, saya rasa seperti tak mampu bernafas.
“Saya masih ingat ketika menulis album kedua saya, Lovelorn. Pada masa itu saya melalui terlalu banyak perkara. Dalam sehari boleh hasilkan lima lagu sebab terlalu banyak benda berat dalam kepala.
“Saya tulis semuanya dan rasa beban itu perlahan-lahan jadi ringan. Kalau tak menulis, saya sendiri tak tahu bagaimana keadaan saya sekarang,” kongsinya.
Rata-rata netizen memuji keterbukaan Daiyan berkongsi tentang pengalaman tersebut dan menyifatkannya sebagai tindakan positif yang membuka ruang perbincangan mengenai kepentingan sokongan, komunikasi dan mencari saluran sihat untuk meluahkan emosi.
Sumber – KOSMO! ONLINE





